Diagnos Tanah Sendiri.
Salam Tahun Baru buat semua pembaca. Ramai yang menantikan entri saya di tahun baru ini. Meskipun penat tapi saya rasa perlu ada sesuatu 'terhidang' di blog ini.
Saya, penulis yang mungkin tidak dikenali ramai, disorokkan wajah, identiti dan lokasi sebenar ini akan terus menulis artikel mengenai kejadian tanah runtuh ini. Saya akan protes habis-habisan segala kerja pembangunan di lereng bukit yang wujud di Malaysia amnya dan di KL khususnya. Kerana saya tidak mahu ramai mangsa tidak berdosa maut tertimbus.
Tidak mengira pangkat, darjat atau harta, semuanya manusia, makhluk Allah, Islam atau bukan Islam, semuanya benda bernyawa yang punya keluarga, orang-orang yang disayangi.
Semua orang pasti tidak mahu kehilangan orang yang disayangi buat selama-lamanya bukan?
Saya sudah mengalaminya, meskipun bukan kerana tragedi tanah runtuh ini. Dan berharap tidak mahu kejadian itu berulang lagi dalam tempoh sekarang.
Penantian untuk pihak berkuasa berwajib menguji struktur tanah ini bagaikan terlalu lama. Bukan salah mereka, keadaan cuaca yang tidak menentu di KL, hujan dan panas menyukarkan kerja-kerja ini. Pun begitu, menurut penduduk-penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa dan juga Taman Hillview yang terletak bersebelahan, tanah di kawasan ini memang diakui sejak dulu lagi, jenis tanah kapur di mana sangat 'fragile'.
Bila berlakunya hujan, air yang berada di bawah tanah seakan 'terperangkap'. Apabila semua terkumpul, laluan air di bawah tanah menjadi semakin besar dan longgar. Kita nampak seperti utuh di luar, sedangkan di bahagian dalam tanah sudah mulai mengikut arus perjalanan air.
Begitulah digambarkan semasa kejadian tanah runtuh 6 Disember lalu. Kuasa air mampu menggerakkan sekumpulan tanah dari atas bukit menuruni curam sehingga ke bawah. Hakisan lebih mudah berlaku apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab 'mengusik' ekosistem bumi dengan membina batu-batu besar (rumah). Tanah yang lembut dan 'manja' ini tidak mampu menampung semuanya, jadi daripada hakisan kecil menjadi runtuh yang besar sehingga makan diri sendiri.
Nasib baik juga tanah runtuh dan 'membawa' rumah ke hadapan. Bagaimana jika ia 'menelan' banglo-banglo itu masuk ke dalam perut bumi? Tidak mustahil. Tidak mustahil berlaku SEKIRANYA tiada pencegahan daripada sekarang.
Kerajaan, tolonglah HENTIKAN PEMBANGUNAN LERENG BUKIT !!!!
Selagi ia tidak dibanteras, selagi itu saya tidak akan berdiam diri.
DI bawah ini adalah lukisan (sendiri) struktur tanah Bukit Antarabangsa. Walaupun sungguh hodoh dibandingkan dengan lukisan anak-anak anda, paling tidakpun hayati dan fikirkanlah.
.
1. Objek berwarna ungu ialah rumah-rumah yang dibina di lereng bukit.
2. Hijau adalah pokok-pokok yang menutupi bukit, dengan bantuan pokok-pokok yang tumbuh meliar di atas bukit ini, maka dapatlah tanah itu menahan daripada berlaku hakisan
3. Coklat mewakili tanah...tanah bukit, yang menjadi mendap akibat kandungan air bawah tanah yang terlampau banyak
4. Anak panah berwarna hitam mewakili laluan air
5. Biru mewakili air yang berada di bawah tanah. Apabila musim hujan, air banyak meresap ke dalam tanah dan menjadi kumpulan air yang besar