Jangan Derma Jika Tidak Ikhlas.
Hari ini saya terbaca satu berita dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Bukan semua penduduk kaya'.
Dalam laporan itu menulis, Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa hanya dapat pungutan sebanyak RM 160,000 semenjak ia ditubuhkan pada hari pertama kejadian.
Pada saya ini bukanlah suatu perkara yang diluar jangkaan. Persepsi masyarakat tentang kami penduduk Bukit Antarabangsa ini adalah daripada golongan kaya-raya. Sekali lagi diingatkan, bukan semua kaya raya, bukan semua senang lenang seperti yang anda lihat, tonton, dengar dan gambarkan. Dianggarkan hanya 40% keluarga di situ terdiri daripada golongan kaya, 35% golongan sederhana manakala 25% golongan biasa.
Saya bersetuju dengan artikel itu yang bertulis, "Disebabkan tinggal di Bukit Antarabangsa mereka dianggap orang kaya sedangkan masyarakat tidak tahu kadar sewa apartmen di sana murah, ada yang sekitar RM500 sahaja," -petikan ucapan Datuk Ismail Kijo, Pengerusi Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa.
Memang benar, Riverdale Park Apartment sebagai contoh, ada sesetengah pemilik unit berkenaan memberi kadar sewa antara RM 500 hingga RM 800 sahaja, yang mana semua orang pun mampu tinggal di sini. Usahlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hanya kerana kawasan ini kawasan kediaman elit, masyarakat luar tidak mahu menghulurkan derma kerana berpendapat kami semua sudah kaya.
Cukuplah dengan 'kerenah' mangsa-mangsa runtuhan di Taman Bukit Mewah yang meminta-minta untuk diberikan layanan istimewa; tinggal di hotel bertaraf lima bintang, makanan disajikan juga dari hotel bertaraf lima bintang (kerana makanan di dalam bungkusan tidak seenak masakan pembantu rumah import) dan pampasan atas nilai kerugian harta benda. Pada saya hanya sebilangan kecil sahaja yang bersikap angkuh atau 'bodoh sombong' begini.
Fokus bantuan ini bukan sahaja tertumpu untuk mangsa-mangsa di Taman Bukit Mewah (yang memang mewah-mewah orangnya) sahaja, tetapi untuk penduduk-penduduk yang tinggal di Kondominium Impian Selatan. Mereka di sini ada yang mengalami masalah tempat tinggal sehingga sekarang, masalah kewangan dan masalah kerja. Oleh kerana jadual persekolahan tahun baru akan dibuka tidak lama lagi, pastilah mereka mengalami masalah untuk menyediakan kelengkapan ke sekolah anak-anak mereka dahulu. Jangan terkejut jika ada sesetengah daripada penduduk kondominium itu terpaksa menyewa di tempat lain, ini menyebabkan mereka terpaksa membayar sewa untuk dua rumah, menyelenggara rumah dan sebagainya.
Oleh itu saya menyarankan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak perlu menghulurkan derma sekiranya timbul di hati perasaan tidak ikhlas. Kami juga tidak meminta-minta diberikan bantuan seperti ini jika kecaman bertalu-talu hinggap ke telinga. Yang sudah berlaku itu biarkanlah berlaku. Beri kami waktu untuk menyesuaikan kehidupan dengan keadaan terkini.
Apa-apapun, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat menjayakan Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa ini, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM), penyumbang-penyumbang individu dan badan-badan pertubuhan. Semoga kalian semua diberkati Allah.