Johan Samdol.
Johan Samdol, bukan nama penuh dalam kad pengenalan beliau. Johan memang nama betulnya, tapi Samdol itu diberi jolokan sebab dia samseng di kampungnya. Muka dia hodoh seperti watak Waji dalam cerita Manjalara. Malah lebih buruk daripada Bomoh Degawan dalam cerita Susuk.
Sebelum saya menceritakan segala keburukan beliau, mari kita lihat faedah-faedah yang beliau ada. Johan sudah mempunyai isteri, anak juga. Dia seorang bapa yang produktif lagi penyayang. Dengan isteri dia sangat berlembut. Dia kerja makan gaji juga, sama seperti orang lain. Sungguhpun pendapatan sederhana, tapi beliau mampu membahagiakan keluarganya. Dia rajin menonton program tv "Bersamamu".
Di samping tidak alpa untuk menunaikan zakat fitrah, Johan Samdol juga tidak lupa bayar hutang kepada Towkey Low setiap bulan untuk keperluan isi rumahnya setiap bulan.
Ah, kalau saya ceritakan kebaikan Samdol semuanya, maka cerita saya ini tidak menjadi cerita seramlah.
Beliau di kampungnya terkenal betul dengan kesamsengan tahap yang cukup melampau. Barannya memang sangat mudah meledak apabila ada saja benda yang menyemak pada hati dan juga pada matanya. Basikal Wak Saman yang parking melintang di tepi warung Haji Kadir, mengganggu pergerakan keretanya pun dimarahi dan ditendangnya basikal tua itu. Bengkok rimnya. Johan tidak peduli untuk bayar gantirugi, cukuplah tindakan itu sebagai 'bayaran' untuk dirinya.
Tahun lepas Johan ketuk cermin kereta Paris Hinton dengan kunci steering, anak seorang Jawa di kampung itu. Sebabnya Paris pakai terlalu seksi dan beliau tidak boleh menumpukan perhatian pada ketika itu sedang menukang membuat meja belajar untuk anaknya. Si Paris tidak mahu buat laporan polis sebab katanya nanti dia pula akan masuk lokap, dan diberikan kasut bowling saiz 11 pula.
Tidak kurang juga kucing-kucing Makcik Selma; Tompok, Pam dan Helga. Semuanya pernah menjadi mangsa Johan akibat mereka curi-curi makan ayam KFC Johan yang terhidang atas meja makan di rumahnya.
Kekejaman Johan memang berleluasa dan makin meluas mengalahkan liputan perkhidmatan Celcom. Sebut sahaja siapa; warga emas, budak sekolah, remaja, ahlong, suami orang, isteri orang, anak orang, anak kucing, anak lembu, ketua kampung, sampah masyarakat, mat rempit, semuanya pernah paling kurang sekali untuk merasa penangan si Johan Samdol ni. Yang terkecuali adalah ahli keluarga Johan, isteri dan anak-anaknya sahaja.
Ada suatu hari tu, masa berita tentang kenaikan gaji pegawai kerajaan naik, harga barang-barang pun naik. Johan terus bawak motor Honda Cawan C70nya meluru ke kedai Towkey Low. Masa tu Towkey Low sedang seronok "melombong bijih timah" di depan kedainya, duduk di atas kerusi malas dengan sebuah kipas nyonya mengibas tubuhnya sekali sekala.
Johan tanpa rasa belas kasihan pada Towkey Low yang sudah tua itu, terus tidak semena-mena mengetuk kepalanya yang botak itu dengan payung lipat. Towkey Low bagai nak pitam. "Hoi apek !! apesal ah ko pun naik harga barang sebab berita kata gaji naik? Ko tak faham bahasa ke aku ni bukan kerja kerajaan, orang kampung ni pun dua tiga orang je yang kerja kerajaan. ape kalau ko tak naikkan harga ko tak boleh buat keranda mahal ke nanti?!", herdiknya tanpa tunggu lama-lama.
"Aiyya..Johan..bukan itu macam. Aduh, sakitnya wa munya kepala. Lu jangan aa fikir itu macam. Wa naik pasat itu supplier pun naik maa..wa jual tada untung la sikalang", jelas Towkey Low sambil kedua-dua tangannya menekup kepala yang hampir berdarah.
"Aku tak kira, kau kena jual harga murah dengan aku. Aku gaji kecik kau tahu? Anak aku ramai. Kalau barang makan mahal, aku nak bayar kau guna tahi idung aku kau nak ke???", Johan tetap tidak berbelas kasihan pada orang cina itu. Mahu tak mahu, Towkey Low terpaksa akur, kerana kalau tidak diikutkan feel Johan ni, kemungkinan dia akan hilang salah seorang pelanggan tetap di kampung itu.
Baru balik dari kedai Towkey Low, anak ketiga Johan berlari ke rumah sambil nangis-nangis. Bila ditanya Johan mengapa, anaknya itu memberitahu bahawa ada sekumpulan mat gian baling batu ke arah dia, terkena pada kepala. Berdarah sedikit. Johan yang masih belum reda barannya itu terus berlari sambil menghayunkan parang. Orang kampung yang melihat dia memang tidak berdaya nak menghalang. Kadang-kadang nampak macam orang gila mengamuk. Nak dihalang, nanti kita sama dihenyaknya. Dia tu bukan boleh dibawa berbincang. Mat-mat gian yang hanya tiga orang itu habis dibantai oleh si Johan, diterajang ke rusuk seorang demi seorang. Semua berguling ke tanah. Tidak cukup dan puas dengan itu, dia menambah lagi dengan menyumbat segala paket dadah yang mereka tengah layan tadi ke dalam mulut seorang daripada mereka.
Johan menghela nafas. Lega barangkali. Dia berjalan ke rumah dengan baju T nya disangkut di bahu gaya seperti orang baru balik dari sawah bendang. Letih juga mengamuk sebab habis tenaga digunakan. Nasib baiklah dia mengamalkan minum jus tongkat ali keluaran Orang Kampung, dapatlah dia tenaga ekstra.
Selepas selesai makan tengahari bersama keluarga, Johan bercadang untuk pergi ke pekan mencari membeli minyak petrol untuk motornya. Lepas tu nak beli tiub tayar basikal anaknya. Baru je Johan cuba menghidupkan enjin kereta Nissan Sunnynya itu, ada benda yang tidak kena. Enjin gagal dihidupkan. Entah kenapa, dia baru hendak memeriksa kondisi keretanya itu. Karburetor, baru ditukar minggu lepas, bateri masih elok, air ok, tali kipas tak putus, minyak hitam dah tukar. Setelah diperhatikan betul-betul, dia lihat ada kekosongan pada satu sudut. Objek itu hilang, tidak ada di situ. Spark plug. Siapa pula yang memandai curi spark plug kereta ni agaknya. Lepas satu, satu masalah yang macam sengaja nak kasi dia panas hati.
"Alooongggggg !!!!" Johan memanggil anak sulungnya. Sebab biasanya yang tahu selok belok kereta ni anak dia yang seorang ni aje. Along deras menuruni anak tangga dari dapur ke garaj kereta di tepi rumah. "Ada apa, bah?".
"Kamu ke yang ngambik spark plug kete abah ni?", tanyanya lagak seorang bapa mithali. "Oh bah, along lupa. Abah punya spark plug tu along tengok macam dah nak rosak la." "Dah tu, ke mana perginya?" "Along pergi caj", jawab anaknya, tersengih. "Mana ada orang caj benda tu nak oiiii", Johan menahan marah. "Takpelah, abah pergi pekan pinjam kereta Pak Soh kamu aje la". Johan bijak mengatur alternatif.
"Soh, aku pinjam kejap keta kau eh. Kereta aku rosak la. Nak ke pekan. Nanti bolehlah aku panggilkan pomen sekali", ujar Johan Samdol lengkap. Pak Soh dengan redha aje, memberikan kunci keretanya pantas. Dahla kereta baru dibelinya sempena nak raya nanti. Tapi semua orang dah faham benar dengan perangai si Johan tu. Lagipun dia biasanya pandai menjaga harta benda orang, tu lagi satu kelebihan yang ada pada dirinya.
Pak Soh ni mempunyai kereta Proton Waja. Masih baru dan bersinar-sinar. Hasil titik peluhnya menyertai Omegatrend. Kerja yang diusahakan selama 3 tahun. Bukan senang tu. Johan pun nak terkembang hidungnya bila memandu keluar kampung dengan kereta baru. Tidak pernah dia membeli kereta baru. Nissan Sunny itu pun beli yang terpakai. Cukuplah untuk membawa anak bini, sudah banyak berjasa kereta itu pada keluarganya.
Dalam perjalanan menuju ke pekan yang letaknya kira-kira 45 kilometer, bermacam-macam jenis pemandu yang ditemuinya. Membuatkan hati Johan panas kembali. Baru je tadi reda sebab duduk dalam pendingin hawa kereta baru, baru aje reda sebab bangga bawa kereta baru.
Ada satu kereta kancil dari arah bertentangan sedang memotong sebuah lori pasir, dalam masa yang sama kereta yang Johan pandu ini sudah hampir berlaga dengan kereta kancil itu. Tanpa berlengah, Johan nak bagi lampu tinggi pada kereta itu, memberi amaran secara kinayah.
Dia tak pernah tahu yang kereta Proton Waja ni tidak sama dengan kereta-kereta lain. Dia tarik penuas pada sebelah kanan steering. Dia fikir itu untuk lampu tinggi, dia terkejut beruk tiba-tiba air berbuih terpacul di cermin hadapannya. Dia menahan malu yang amat sangat. Masa itu nasib baik dia sempat tekan brek jadi sempat jugalah kereta kancil itu masuk ke lorong asalnya. Kereta kancil itu memberikan hon padanya. Begitu juga lori pasir itu. Mungkin mereka perasan kot. Mungkin mereka sedang mentertawakan kebodohannya.
Dia tergelak sendirian. Dia malu.
Hari itu dia telah mendapat penangan menjadi seorang yang panas baran. Menjadi seorang yang gelabah dan kalut memang tiada untungnya. Selepas pulang dari pekan, dia berterima kasih pada Pak Soh atas kesudian meminjamkan keretanya dan kereta itulah yang memberi pelajaran padanya.
Johan sudah mulai insaf. Dia meminta maaf kepada semua orang kampung. Dan beberapa bulan selepas itu dia juga membeli kereta Proton Waja sebagai memperingati supaya bersabar.
Kampung itu sudah aman. Nama Johan Samdol kini tidak lagi menakutkan mereka. Gelaran Samdol masih dikekalkan. Janggallah kalau nama itu dihazafkan.
Sekian.
{idea pukul 2 pagi..faham2la kalau tak lengkap sangat tu}