Kyoto Gardens Selamat - Pengurusan.
Ahad lalu telah diadakan mesyuarat antara pengurusan Kyoto Gardens Condominium dengan semua penduduk di situ. Kali ini dihadiri oleh majoriti yang ingin mengetahui perkembangan terkini dan status keselamatan rumah yang didiami itu.
Jutaan terima kasih kepada pihak berkuasa dan pengurusan kerana setelah meneliti dan mengkaji keadaan kawasan di situ, akhirnya mereka menemui jawapan; keresahan penduduk mulai hilang setelah dijamin selamat tinggal di situ. Bagi mereka yang ingin membeli unit kediaman di sini juga bolehlah berbuat demikian sekarang.
Dalam jangka masa pendek ini, menurut pihak pengurusan, mereka akan mengadakan mesyuarat besar-besaran dengan kelab-kelab penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa ini dalam bekerjasama menangani masalah keselamatan setelah genap sebulan tragedi tanah runtuh yang meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa 6 Disember lalu.
Jalan utama yang rosak tempohari juga akan siap diguna semula tidak lama lagi.
Kerajaan jangan seperti hangat-hangat t*** ayam
Dalam pada itu, penduduk-penduduk di sini juga menyeru pihak kerajaan supaya mengambil serius dalam bertindak mengharamkan pembangunan di lereng-lereng bukit. Ini kerana sudah 17 tahun selepas peristiwa di Highland Towers masih terdapat pembangunan malah semakin pesat didirikan walaupun sudah berulang kali pihak kerajaan mengumumkan pengharaman itu.
Jelas sekali pihak pemaju tidak merasa takut untuk terus membina lot-lot rumah berhampiran kawasan kejadian tanah runtuh ini. Penduduk berharap biarlah kali ini kerajaan bersikap benar-benar tegas demi keselamatan penduduk yang lain. Kami di sini mulai merasa terancam dengan beberapa projek yang bakal didirikan terutamanya di puncak-puncak bukit kerana gusar perkara yang sama akan berlaku dan meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa. "Kerajaan janganlah seperti 'hangat-hangat t*** ayam' sahaja, bila terjadinya tanah runtuh, baru hendak bertegas tak boleh bina di lereng bukit. Tapi bila dah cerita ini makin lenyap dari media massa, pemaju pun naik (bina) balik, kalau macam tu saya pun boleh jadi pemaju perumahan", ujar salah seorang penduduk Bukit Antarabangsa.