Shhh..Jangan Cakap "Politik" !
Demam pilihanraya bermula. Hari esok bermulalah rakyat jelata keluar mengundi. Masing-masing sangat tak sabar untuk memangkah calon yang difikirkan sesuai dan membuang undi ke dalam peti undi, namun masih ada yang tidak pernah mengundi cuba membuang undi ke dalam bakul sampah. Rosak katanya.
Di sebuah kampung yang rata-rata penduduknya berketurunan Melayu, tinggallah sepasang suami isteri yang sudah lanjut usianya; Pak Seman dan Mak Jah. Sangat bahagia dan romantis mereka, ke mana sahaja pergi pasti berdua.
Dan, yang pastinya mereka langsung tidak terlibat berkempen. Bagi Pak Seman, apa sahaja parti; baik penyokong atau pembangkang kerajaan haruslah bermuafakat dalam membina satu negara yang aman lagi utuh. Ini memang susunan ayat Pak Seman sendiri dan tidak sedikitpun ditambah ayatnya. Kata-kata mutiara Pak Seman ini sungguh membina, macam seorang ahli Parlimen pun ada.
Malam sebelum pilihanraya, kelihatan Mak Jah sibuk menggosok baju batik Pak Seman dan juga sepasang baju kurungnya. Selepas itu dia menggilap sepatu suami tersayang. Persiapan untuk hadir mengundi besok. Sungguh bersemangat, maklumlah, empat kali setahun situasi ini berlaku, bukan sahaja dalam rumah Pak Seman, tapi seluruh rakyat Malaysia. Sepertinya menyambut kemerdekaan, ataupun menyambut Aidilfitri kemeriahannya dirasai, cuma tiada dentuman mercun dan hilai tawa keriangan kanak-kanak bermain bunga api di laman. Sebaliknya hiruk pikuk mereka yang berjaga di markas parti masing-masing, berbual sampai ke pagi.
Maka, pagi itu bersiaplah suami isteri veteran ini untuk ke sekolah. Dalam pada kesibukan berdandan, sempat juga Pak Seman mengusik isterinya, "Awak ni bila dah pakai macam ni saya tengok macam nak pergi kahwin je".
Mak Jah hanya tersengih sambil mengenakan butang baju kurungnya.
Seawal jam 7.30 pagi lagi mereka tiba. Waktu itu pun dah ramai orang. Warga tua dan orang kurang upaya apatah lagi, tidak terbayang keperihan mereka menunggu giliran. Bermacam ragam, ketidakselesaan kerana berasak-asak dengan orang ramai sehingga peluh kuyup membasahi pakaian mereka. Tidak kurang yang bergaduh semasa berkempen di saat akhir, meraih sokongan.
Bila semuanya sudah selesai, undian telah ditutup, maka tiba waktu malam pabila seluruh rakyat terpaku dan tergamam di depan televisyen masing-masing untuk mengetahui keputusan pilihanraya. Ada juga yang belum mandi tapi sudah terpacak di "saf" paling hadapan di warung-warung kopi. Kopi dipesan sudah bercawan-cawan; siapa yang bayar entahlah. Yang pastinya peniaga akan kerugian sedikit sebanyak setiap kali malam pengumuman pilihanraya kerana ada yang buat-buat lupa bayar, ada juga yang sengaja tidak mahu membayar tapi buat-buat sawan terkejut sekiranya parti mereka kalah.
Sungguhpun suasana di rumah Pak Seman dan Mak Jah sunyi melainkan suara televisyen, mereka juga antara berjuta rakyat Malaysia yang menaikkan 'rating' tv pada malam itu. Mereka sanggup berjaga hingga ke pagi walaupun keputusan untuk kawasan undi di situ telah lama diumumkan. Namun mereka tidak kisah. Kemesraan tetap ada.
Beberapa hari kemudian...
Sebuah kereta mewah Lamborghini memasuki kampung tersebut. Semua mata yang berada di warung kopi terpaku ke arah kereta itu. Tidak pernah melihat. Bahkan ada yang tidak sedar tergigit jari sendiri bila karipap yang disuap ke mulut sudah habis ditelan. Semua tertanya siapakah dia dan ke manakah tempat tujuan kereta itu. Dan, akhirnya kereta itu berhenti betul-betul di hadapan rumah kepunyaan Pak Seman bertentangan warung. Semua berpaling sesama sendiri.
Keluar sesusuk tubuh lelaki dari kereta itu. Berjalan ke tangga dan memberikan salam. Pak Seman keluar rumah menyambut tetamu itu.
Lelaki itu bersalam, mencium tangan Pak Seman dan memeluk erat. "Abah, saya dah menang pilihanraya. Saya janji saya akan bela nasib keluarga kita dan juga orang-orang kampung ni"
"Tahniah nak, abah dah tahu dari awal kau menang. Kau balas jasa abah dan orang kampung ni yang membantu kau belajar tinggi-tinggi nak ye"
Airmata jantan kedua-dua beranak itu menitis. Hingga ke bahu. Pelukan diuraikan. Pak Seman tepuk bahu anaknya itu. Barulah orang kampung tahu yang anak Pak Seman menang jadi ahli Parlimen kawasan kampung itu. Dan dia akan balas jasa semua orang kampung sebab membantunya dulu dan juga memberi kepercayaan sepenuhnya mewakili suara masyarakat.
"Shhh..Jangan Cakap Politik !" - hanya cerita rekaan sahaja dan bukan berpihak kepada sesiapa dan mana-mana parti.