Tragedi Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa: Genap Sebulan Hari Ini.
Terasa seperti baru sahaja ia berlaku, hari ini sudah genap sebulan peristiwa pahit berlaku Sabtu, 6 Disember jam 3.45 pagi, dalam sekelip mata tanah dari bukit telah menimbuskan 14 unit banglo mewah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.
Tangisan mengiringi empat mangsa yang terkorban di dalam runtuhan itu, mereka ialah mendiang Dr. N. Yogeswari, mendiang Ng Yee Peng, Allahyarham Mohd Saiful Khas Datuk Shaharuddin dan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Su.
Kejadian ini memberikan iktibar kepada semua pihak, termasuk penduduk di kawasan itu.
Keadaan terkini di Bukit Antarabangsa, penduduk-penduduk berhampiran Taman Bukit Mewah sudahpun mulai berpindah ke kediaman masing-masing dan memulakan kehidupan di tahun baru ini seperti sediakala. Kelihatan agak suram apabila melalui kawasan tanah runtuh. Jelas tergambar kemeriahan tetangga di kawasan itu, hilai tawa kanak-kanak, suasana di Taman Bukit Mewah itu sungguh meriah sebelum kejadian hitam itu. Kini, segalanya sudah lenyap, yang tinggal saki baki blok bangunan yang bakal diruntuhkan tidak lama lagi.
Sungguhpun saya sendiri merasa fobia untuk melalui jalan yang dipenuhi timbunan tanah di bahu jalan, keadaan seolah memaksa saya untuk terus berhadapan dengan situasi ini kerana sudah tiada jalan lain lagi yang boleh membawa saya keluar dan masuk ke kawasan rumah. Mungkin fobia hanya boleh dirawat apabila berdepan dengan apa yang kita takutkan itu.
Harapan saya dan ribuan penduduk Bukit Antarabangsa di sini agar tiada lagi pembangunan di sekitar kawasan ini bagi memastikan keadaan aman selain dapat memelihara ekosistem dan keaslian alam semula jadi. Mungkin sebelum ini kita semua alpa tentang alam, masing-masing tidak menghiraukan tentang bahaya atau perubahan muka bumi yang berlaku. Harusnya sekaranglah masa yang sesuai untuk mula peka terhadap alam sekitar dan dapat mengelak daripada berlaku lagi di masa hadapan.