Posts
Pertama sekali maafkan saya pembaca sekalian..Berdiam diri bukan bermaksud lari daripada kenyataan atau 'digam' oleh pihak-pihak tertentu. TIDAK sekali-kali. Saya akan pastikan suara saya tidak akan terhenti begitu sahaja. Saya akan terus menulis sehingga suara saya kedengaran oleh mereka yang tertentu.
Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini kerana sudah menumpukan komitmen terhadap kerjaya baru saya.
Bukit Antarabangsa kini sudah muram, jika anda melihat foto-foto yang saya 'snap' ini anda juga dapat merasakan betapa tragisnya impak daripada peristiwa hitam itu.
Banglo-banglo ranap dahulu telah dirobohkan..2 banglo di sana hanya menunggu masa untuk dirobohkan.
Di sana bermulanya runtuhan...dahulunya di kaki bukit itulah banglo-banglo mewah tersergam indah.
Jalan baru berturap, dan banglo yang hanya sipi-sipi tempias runtuhan itu.
Banglo senget. Menanti waktu menyembah ke bumi.
Jalan turun dari Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, sehala sahaja. Kelihatan sunyi sepi. Pemilik-pemilik banglo yang terselamat pun tidak lagi tinggal di sini.
Jalan sehala menaiki Bukit Utama, Bukit Antarabangsa (yang juga jalan alternatif yang dibina dahulu). Lihatlah banglo itu sedang dalam proses merobohkannya.
Kita berhenti seketika dengan posting mengenai tanah runtuh di Bukit Antarabangsa kerana saya fikir ada lagi satu perkara yang lebih penting yang kita perlu sama-sama memberi perhatian.
Kekejaman Zionis di tanah Palestin. Sebelum ini pun memang kita semua sudah maklum tentang kejadian huru-hara di Semenanjung Gaza. Bahkan sudah bertahun rasanya perkara itu berlaku hinggalah hari ini menjadi sebutan di seluruh negara. Semua mata kini bertumpu kepada negara Palestin.
Terbaru, tentera rejim Zionis ini telah membunuh ribuan, mungkin angkanya sudah ratusan ribu penduduk Palestin yang tidak berdosa. Pembunuhan kejam beramai-ramai ini telah banyak menyedarkan kita di Malaysia betapa bersyukurnya berada di bawah lindungan Allah Taala ini. Alhamdulillah semuanya aman.
Mungkin sebelum ini, saya sendiri secara peribadi tidak begitu mengambil endah tentang keganasan mereka untuk merampas tanah di sana.
Setelah semalam membaca akhbar dan melihat beberapa gambar-gambar penduduk yang mati dengan menyayat hati itu telah membuka mata saya untuk berfikir. Impaknya, setiap detik saya selalu memikirkan bagaimanakah keadaan penduduk di sana? Tidur pun tidak lena, makan entah ke mana, mandi entah ke mana, bahkan keluarga sendiri pun entah ke mana. Mungkin ada yang meraung kesakitan, anak-anak menangis ketakutan dan kelaparan, dan meratapi pemergian orang-orang yang disayangi.
Kanak-kanak di situ juga mula menyertai tunjuk perasaan dengan membawa anak patung dengan lumuran darah. Saya rasa sangat tersentuh melihat gambar itu. Nampaknya jelas manusia sekarang tidak punya belas dan kasihan, kasih dan sayang, sebaliknya hanya tertanam dengan hasad dengki, perasaan benci yang keterlaluan sehingga tercetusnya peperangan berbalah sesama sendiri.
Mungkin tiada siapa berani tampil membantu, kerana pada Zionis merekalah berkuasa. Kenapalah diciptakan kaum Yahudi? Adakah mereka ini Ya'juj Ma'juj yang diceritakan dalam al-Quran sebagai kelompok manusia yang ganas, kasar itu?
Ada rakan-rakan saya mengirimkan emel supaya memboikot barangan keluaran Israel. Pada mulanya saya juga bersetuju, kerana jika saya dan keluarga = 5 orang memboikot, dalam satu taman ada 300 keluarga misalnya, 300X5 ahli keluarga = 1500 orang, satu negeri? satu negara? satu region? Mungkin berjaya menyekat mereka, ekonomi mereka pasti terjejas dengan pemboikotan ini. Akan tetapi, saya rasa serba salah kerana, kebanyakan barangan mereka adalah yang UTAMA di dunia seperti McDonald's, KFC, Colgate, Nestle dan banyak lagi. Baru saya terfikir, mereka sudah bijak mengatur kesemuanya dari zaman nenek moyang lagi, mereka mengawal ekonomi, monopoli barangan keperluan, barangan makanan, supaya manusia di bumi ini bergantung kepada mereka sahaja!
Saya akan memboikot jika ada barang pengganti untuk produk-produk makanan khususnya yang dikeluarkan oleh mereka. Tapi kebanyakannya tidak ada pengganti, selain penggantinya sendiri juga keluaran Israel.
Rasa serba salah dengan penduduk Palestin seolah-olah saya 'menghulurkan' sumbangan untuk rejim Zionis membeli alatan perang untuk membunuh saudara seagama sendiri.
Ya Allah, Maha KuasaMu, hanya Engkau yang boleh memberikan pertolongan. Tolonglah saudara-saudaraku di Palestin yang tidak berdosa itu, Ya Allah.
Terasa seperti baru sahaja ia berlaku, hari ini sudah genap sebulan peristiwa pahit berlaku Sabtu, 6 Disember jam 3.45 pagi, dalam sekelip mata tanah dari bukit telah menimbuskan 14 unit banglo mewah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.
Tangisan mengiringi empat mangsa yang terkorban di dalam runtuhan itu, mereka ialah mendiang Dr. N. Yogeswari, mendiang Ng Yee Peng, Allahyarham Mohd Saiful Khas Datuk Shaharuddin dan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Su.
Kejadian ini memberikan iktibar kepada semua pihak, termasuk penduduk di kawasan itu.
Keadaan terkini di Bukit Antarabangsa, penduduk-penduduk berhampiran Taman Bukit Mewah sudahpun mulai berpindah ke kediaman masing-masing dan memulakan kehidupan di tahun baru ini seperti sediakala. Kelihatan agak suram apabila melalui kawasan tanah runtuh. Jelas tergambar kemeriahan tetangga di kawasan itu, hilai tawa kanak-kanak, suasana di Taman Bukit Mewah itu sungguh meriah sebelum kejadian hitam itu. Kini, segalanya sudah lenyap, yang tinggal saki baki blok bangunan yang bakal diruntuhkan tidak lama lagi.
Sungguhpun saya sendiri merasa fobia untuk melalui jalan yang dipenuhi timbunan tanah di bahu jalan, keadaan seolah memaksa saya untuk terus berhadapan dengan situasi ini kerana sudah tiada jalan lain lagi yang boleh membawa saya keluar dan masuk ke kawasan rumah. Mungkin fobia hanya boleh dirawat apabila berdepan dengan apa yang kita takutkan itu.
Harapan saya dan ribuan penduduk Bukit Antarabangsa di sini agar tiada lagi pembangunan di sekitar kawasan ini bagi memastikan keadaan aman selain dapat memelihara ekosistem dan keaslian alam semula jadi. Mungkin sebelum ini kita semua alpa tentang alam, masing-masing tidak menghiraukan tentang bahaya atau perubahan muka bumi yang berlaku. Harusnya sekaranglah masa yang sesuai untuk mula peka terhadap alam sekitar dan dapat mengelak daripada berlaku lagi di masa hadapan.
Ahad lalu telah diadakan mesyuarat antara pengurusan Kyoto Gardens Condominium dengan semua penduduk di situ. Kali ini dihadiri oleh majoriti yang ingin mengetahui perkembangan terkini dan status keselamatan rumah yang didiami itu.
Jutaan terima kasih kepada pihak berkuasa dan pengurusan kerana setelah meneliti dan mengkaji keadaan kawasan di situ, akhirnya mereka menemui jawapan; keresahan penduduk mulai hilang setelah dijamin selamat tinggal di situ. Bagi mereka yang ingin membeli unit kediaman di sini juga bolehlah berbuat demikian sekarang.
Dalam jangka masa pendek ini, menurut pihak pengurusan, mereka akan mengadakan mesyuarat besar-besaran dengan kelab-kelab penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa ini dalam bekerjasama menangani masalah keselamatan setelah genap sebulan tragedi tanah runtuh yang meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa 6 Disember lalu.
Jalan utama yang rosak tempohari juga akan siap diguna semula tidak lama lagi.
Kerajaan jangan seperti hangat-hangat t*** ayam
Dalam pada itu, penduduk-penduduk di sini juga menyeru pihak kerajaan supaya mengambil serius dalam bertindak mengharamkan pembangunan di lereng-lereng bukit. Ini kerana sudah 17 tahun selepas peristiwa di Highland Towers masih terdapat pembangunan malah semakin pesat didirikan walaupun sudah berulang kali pihak kerajaan mengumumkan pengharaman itu.
Jelas sekali pihak pemaju tidak merasa takut untuk terus membina lot-lot rumah berhampiran kawasan kejadian tanah runtuh ini. Penduduk berharap biarlah kali ini kerajaan bersikap benar-benar tegas demi keselamatan penduduk yang lain. Kami di sini mulai merasa terancam dengan beberapa projek yang bakal didirikan terutamanya di puncak-puncak bukit kerana gusar perkara yang sama akan berlaku dan meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa. "Kerajaan janganlah seperti 'hangat-hangat t*** ayam' sahaja, bila terjadinya tanah runtuh, baru hendak bertegas tak boleh bina di lereng bukit. Tapi bila dah cerita ini makin lenyap dari media massa, pemaju pun naik (bina) balik, kalau macam tu saya pun boleh jadi pemaju perumahan", ujar salah seorang penduduk Bukit Antarabangsa.
Ini hanyalah luahan daripada hati saya sahaja.
Sebelum berakhirnya tahun 2008 tempohari saya sempat membeli sebotol minyak wangi, Mariah Carey's Luscious Pink. Oleh kerana begitu meminati warna merah jambu, Mariah Carey dan baunya sendiri, saya cuba untuk mendapatkannya dan Alhamdulillah misi tercapai.
Mempunyai minat yang tersendiri dalam mengumpul pelbagai minyak wangi, Mariah Carey ini boleh diklasifikasikan antara wangian yang paling saya gemari selain wangian lain yang kebanyakannya berwarna merah jambu.
Setelah hampir setiap hari memakai minyak wangi terbaru dalam koleksi ini, saya teringatkan sesuatu apabila tercium baunya. Bau yang saya pernah kenal, kira-kira 13 tahun yang lalu.
Saya mempunyai seorang rakan baik semasa kecil sehingga ke bangku sekolah. Nurul Syahida Mohd Ridwan namanya. Sebelum kami bersekolah rendah bersama-sama, saya memanggilnya Sya. Apabila masuk alam persekolahan, guru-guru dan rakan-rakan mula memanggilnya Nurul.
Orangya manja, manis dan berwajah kacukan Cina. Mempunyai kulit putih langsat dan gemar berambut panjang paras pinggul, rambutnya lurus tanpa membuat rawatan rebonding. Setiap hari ke sekolah dia akan memakai bedak dan losyen yang baunya mirip haruman Mariah Carey's Luscious Pink ini. Dia sangat menjaga kebersihan dirinya, begitu juga menjaga persahabatan bukan dengan saya sahaja, malah dengan semua rakan yang rapat dengannya.
Saya dan dia sering bersaing dalam merebut tempat pertama di dalam kelas, semenjak tahun 1 sehinggalah tahun 6. Jika ada pertandingan dan memerlukan wakil sekolah, kami selalu akan dipilih bersama-sama, tidak pernah ditinggalkan keseorangan. Kami seperti kembar di sekolah. Saya belajar Matematik dengannya kerana dia sangat gemar matapelajaran itu.
Kalau bergaduh, sekejap sahaja, kemudian berbaik kembali. Bukan bergaduh perkara besar pun. Guru kelas pun faham kami berkelahi kerana kedudukan dalam kelas, jawatan pengawas dan lain-lain yang tidak serius. Bak kata orang, berkelahi secara intelligent. Hehe.
Apa yang istimewa dengan Nurul? Dia banyak mengajar saya dari segi akademik, kehidupan dan juga doa-doa amalan yang mana pada saya tidak semua kawan kita akan membimbing kita begitu. Sehingga hari ini saya belum jumpa kawan-kawan lain yang boleh menandinginya. Dia sangat jujur, baik dan sayangkan kawan-kawannya. Semasa di tingkatan 1 dia pernah menelefon ke rumah dan ingin berbual dengan saya. Tingkatan 3 saya menerima kad hari raya yang terakhir daripadanya. Di dalam kad itu dia menceritakan bahawa dia akan belajar Fizik dan Kimia, dan dia masih sukakan Matematik. Dia juga mula diminati oleh pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Saya membalas kad raya itu tapi sehingga hari ini belum pernah menerima balasan.
Mungkinkah sudah melupakan saya? Mungkin ya, mungkin tidak. Apa yang pasti, saya tidak pernah melupakannya sehingga kini. Saya mencuba menjejakinya di internet, Friendster dan sebagainya kalau-kalau terjumpa, malangnya pencarian saya gagal.
Saya masih ingat yang keluarganya mempunyai perniagaan sutera dan songket di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Saya cuba mencari lokasi kedai itu di internet kerana khuatir jika mereka telah berpindah. Sungguh gembira kerana kedainya masih di situ dan antara yang paling berjaya di Pasar Payang kerana menerima banyak pujian daripada pelanggan-pelanggan tempatan mahupun luar negeri. Saya berharap saya akan ke sana suatu hari nanti dan bertanya khabar tentangnya. Walaupun mungkin dia tiada di situ membantu ibu bapanya menguruskan perniagaan, tetapi paling kurang dapatlah saya tahu apa yang dia buat sekarang, lokasi tempat tinggal dan nombor yang boleh dihubungi.
Ya, saya masih berdoa supaya dapat bertemu kembali, setelah 13 tahun berpisah. Walaupun dia mungkin sudah berumahtangga atau tidak semesra dulu. Saya cuma mahu lihat dia baik-baik saja dan tumpang gembira atas apa jua yang dilakukan kerana itulah seorang kawan baik perlu buat =)
Terima kasih kepada team Blog Malaysia dan Founder, Dr. Koh.
Salam Tahun Baru buat semua pembaca. Ramai yang menantikan entri saya di tahun baru ini. Meskipun penat tapi saya rasa perlu ada sesuatu 'terhidang' di blog ini.
Saya, penulis yang mungkin tidak dikenali ramai, disorokkan wajah, identiti dan lokasi sebenar ini akan terus menulis artikel mengenai kejadian tanah runtuh ini. Saya akan protes habis-habisan segala kerja pembangunan di lereng bukit yang wujud di Malaysia amnya dan di KL khususnya. Kerana saya tidak mahu ramai mangsa tidak berdosa maut tertimbus.
Tidak mengira pangkat, darjat atau harta, semuanya manusia, makhluk Allah, Islam atau bukan Islam, semuanya benda bernyawa yang punya keluarga, orang-orang yang disayangi.
Semua orang pasti tidak mahu kehilangan orang yang disayangi buat selama-lamanya bukan?
Saya sudah mengalaminya, meskipun bukan kerana tragedi tanah runtuh ini. Dan berharap tidak mahu kejadian itu berulang lagi dalam tempoh sekarang.
Penantian untuk pihak berkuasa berwajib menguji struktur tanah ini bagaikan terlalu lama. Bukan salah mereka, keadaan cuaca yang tidak menentu di KL, hujan dan panas menyukarkan kerja-kerja ini. Pun begitu, menurut penduduk-penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa dan juga Taman Hillview yang terletak bersebelahan, tanah di kawasan ini memang diakui sejak dulu lagi, jenis tanah kapur di mana sangat 'fragile'.
Bila berlakunya hujan, air yang berada di bawah tanah seakan 'terperangkap'. Apabila semua terkumpul, laluan air di bawah tanah menjadi semakin besar dan longgar. Kita nampak seperti utuh di luar, sedangkan di bahagian dalam tanah sudah mulai mengikut arus perjalanan air.
Begitulah digambarkan semasa kejadian tanah runtuh 6 Disember lalu. Kuasa air mampu menggerakkan sekumpulan tanah dari atas bukit menuruni curam sehingga ke bawah. Hakisan lebih mudah berlaku apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab 'mengusik' ekosistem bumi dengan membina batu-batu besar (rumah). Tanah yang lembut dan 'manja' ini tidak mampu menampung semuanya, jadi daripada hakisan kecil menjadi runtuh yang besar sehingga makan diri sendiri.
Nasib baik juga tanah runtuh dan 'membawa' rumah ke hadapan. Bagaimana jika ia 'menelan' banglo-banglo itu masuk ke dalam perut bumi? Tidak mustahil. Tidak mustahil berlaku SEKIRANYA tiada pencegahan daripada sekarang.
Kerajaan, tolonglah HENTIKAN PEMBANGUNAN LERENG BUKIT !!!!
Selagi ia tidak dibanteras, selagi itu saya tidak akan berdiam diri.
DI bawah ini adalah lukisan (sendiri) struktur tanah Bukit Antarabangsa. Walaupun sungguh hodoh dibandingkan dengan lukisan anak-anak anda, paling tidakpun hayati dan fikirkanlah.
.
1. Objek berwarna ungu ialah rumah-rumah yang dibina di lereng bukit.
2. Hijau adalah pokok-pokok yang menutupi bukit, dengan bantuan pokok-pokok yang tumbuh meliar di atas bukit ini, maka dapatlah tanah itu menahan daripada berlaku hakisan
3. Coklat mewakili tanah...tanah bukit, yang menjadi mendap akibat kandungan air bawah tanah yang terlampau banyak
4. Anak panah berwarna hitam mewakili laluan air
5. Biru mewakili air yang berada di bawah tanah. Apabila musim hujan, air banyak meresap ke dalam tanah dan menjadi kumpulan air yang besar
Di penghujung hari sebelum 2009 menyinsing, di kesempatan yang secebis ini saya mahu berkongsi dengan pembaca suka dan duka, perit jerih menjalani kehidupan yang berliku sepanjang tahun ini.
Januari
- Ayahanda bertugas di Kalimantan, Indonesia menyebabkan kami hidup saling bergantung antara adik-beradik
- 22/2/2008, jam 10.30 malam: Peristiwa ragut berlaku semasa saya dan seorang rakan dalam perjalanan pulang dari Jonker Walk, Melaka. Saya mengalami retak tulang hidung, cedera di tangan, dahi dan pinggang, manakala rakan cedera di lengan dan peha terseliuh kerana dihempap motorsikal. Motorsikal yang kami naiki terjatuh di tengah jalan semasa bergelut dengan peragut yang juga menaiki motorsikal Yamaha Lagenda berwarna hijau-hitam. Nombor pendaftaran samar-samar. Peragut gagal mendapatkan beg tangan saya. Alhamdulillah.
- hari lahir saya. selalunya arwah ibu sentiasa ingat. sekarang, baik ayahanda mahupun keluarga lain, semuanya lupa =(
- hari lahir mynizam yang sentiasa diingati
- berita krisis makanan dunia
- harga beras mulai naik sekali ganda
- menjadi pembeli online yang sangat kerap, hobi baru yang tidak boleh dielakkan
- 2/6/2008: suka dan duka, mengalami kepayahan dalam industrial training di Jalan P.Ramlee, KL
- kereta dilanggar dari arah belakang di Jalan Setiawangsa, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja
- harga minyak mendadak naik sehingga berlaku tunjuk perasaan setiap hari di sekitar ibu kota
- genap dua tahun pemergian ibunda tercinta
- pemergian sepupu lelaki ke Rahmatullah pada 3 Ramadhan
- 19/9/2008: tamat industrial training
- berhari raya dengan meriah di kampung, tapi masih terasa kosong tanpa ibunda
- cermin kereta dipecah oleh perompak di tempat letak kereta, Tesco Ampang pada jam 10.00 malam. suspek mungkin melihat sesuatu di dalam kereta tapi belum sempat mengambilnya. Modus operandi ialah, menjadi budak pengedar 'flyers' dan melihat-lihat kereta yang telah disasar. kerana begitu banyak flyers di hadapan cermin kereta saya! kereta orang lain sekeping pun tiada.
- 10/11/2008: menjadi pelajar kembali
- 6/12/2008: tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. mengakibatkan kami sekeluarga menumpang di rumah ibu saudara
- bakal menamatkan pengajian
Saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca. Nantikan kemunculan wajah baru kemamanrepublic.vox.com di tahun baru nanti Insyaallah.
Buat pembaca yang beragama Islam (majoriti), tingkatkan keimanan pada Allah, jadilah mukmin/mukminah yang sentiasa basah bibirnya dengan kalimah memuji Allah. Kita semakin hampir dengan akhir zaman, semakin maju kehidupan kita, semakin jahil jadinya manusia sekarang. Janganlah kita tergolong dalam golongan manusia akhir zaman. Amin.
Ramai yang bertanya pada saya, bagaimana kawasan itu? berapa jaraknya dengan rumah saya? di mana saya tinggal sekarang?
Susah benar saya ingin terangkan !
Begini sajalah, saya sediakan peta ini untuk tatapan umum. Supaya dengan bantuan gambar bisa membantu anda memahami situasi penduduk Bukit Antarabangsa kini. Tidak semua orang yang harus mengosongkan kediaman, dan jalan alternatif sudah pun siap dibina bagi memudahkan penduduk di kawasan atas hendak keluar masuk. Dijangka jalan utama yang rosak akibat runtuhan tanah itu akan siap dibaikpulih pada 4 Januari 2009 nanti.
Gambar diambil dari myproperties.easybizs.com/?p=141 dan www.dromoz.com/directory/maps/?epid=7406
Terima Kasih.
Ini peta Bukit Antarabangsa. Shaded area yang berwarna coklat itu adalah kawasan tanah runtuh.
Yang saya tandakan bulat di hujung kiri peta adalah tempat di mana saya tinggal sehingga sekarang dan masih selamat iaitu Kyoto Gardens Condominium.
Hari ini saya terbaca satu berita dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Bukan semua penduduk kaya'.
Dalam laporan itu menulis, Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa hanya dapat pungutan sebanyak RM 160,000 semenjak ia ditubuhkan pada hari pertama kejadian.
Pada saya ini bukanlah suatu perkara yang diluar jangkaan. Persepsi masyarakat tentang kami penduduk Bukit Antarabangsa ini adalah daripada golongan kaya-raya. Sekali lagi diingatkan, bukan semua kaya raya, bukan semua senang lenang seperti yang anda lihat, tonton, dengar dan gambarkan. Dianggarkan hanya 40% keluarga di situ terdiri daripada golongan kaya, 35% golongan sederhana manakala 25% golongan biasa.
Saya bersetuju dengan artikel itu yang bertulis, "Disebabkan tinggal di Bukit Antarabangsa mereka dianggap orang kaya sedangkan masyarakat tidak tahu kadar sewa apartmen di sana murah, ada yang sekitar RM500 sahaja," -petikan ucapan Datuk Ismail Kijo, Pengerusi Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa.
Memang benar, Riverdale Park Apartment sebagai contoh, ada sesetengah pemilik unit berkenaan memberi kadar sewa antara RM 500 hingga RM 800 sahaja, yang mana semua orang pun mampu tinggal di sini. Usahlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hanya kerana kawasan ini kawasan kediaman elit, masyarakat luar tidak mahu menghulurkan derma kerana berpendapat kami semua sudah kaya.
Cukuplah dengan 'kerenah' mangsa-mangsa runtuhan di Taman Bukit Mewah yang meminta-minta untuk diberikan layanan istimewa; tinggal di hotel bertaraf lima bintang, makanan disajikan juga dari hotel bertaraf lima bintang (kerana makanan di dalam bungkusan tidak seenak masakan pembantu rumah import) dan pampasan atas nilai kerugian harta benda. Pada saya hanya sebilangan kecil sahaja yang bersikap angkuh atau 'bodoh sombong' begini.
Fokus bantuan ini bukan sahaja tertumpu untuk mangsa-mangsa di Taman Bukit Mewah (yang memang mewah-mewah orangnya) sahaja, tetapi untuk penduduk-penduduk yang tinggal di Kondominium Impian Selatan. Mereka di sini ada yang mengalami masalah tempat tinggal sehingga sekarang, masalah kewangan dan masalah kerja. Oleh kerana jadual persekolahan tahun baru akan dibuka tidak lama lagi, pastilah mereka mengalami masalah untuk menyediakan kelengkapan ke sekolah anak-anak mereka dahulu. Jangan terkejut jika ada sesetengah daripada penduduk kondominium itu terpaksa menyewa di tempat lain, ini menyebabkan mereka terpaksa membayar sewa untuk dua rumah, menyelenggara rumah dan sebagainya.
Oleh itu saya menyarankan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak perlu menghulurkan derma sekiranya timbul di hati perasaan tidak ikhlas. Kami juga tidak meminta-minta diberikan bantuan seperti ini jika kecaman bertalu-talu hinggap ke telinga. Yang sudah berlaku itu biarkanlah berlaku. Beri kami waktu untuk menyesuaikan kehidupan dengan keadaan terkini.
Apa-apapun, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat menjayakan Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa ini, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM), penyumbang-penyumbang individu dan badan-badan pertubuhan. Semoga kalian semua diberkati Allah.