112 posts tagged “*me*”
Ini hanyalah luahan daripada hati saya sahaja.
Sebelum berakhirnya tahun 2008 tempohari saya sempat membeli sebotol minyak wangi, Mariah Carey's Luscious Pink. Oleh kerana begitu meminati warna merah jambu, Mariah Carey dan baunya sendiri, saya cuba untuk mendapatkannya dan Alhamdulillah misi tercapai.
Mempunyai minat yang tersendiri dalam mengumpul pelbagai minyak wangi, Mariah Carey ini boleh diklasifikasikan antara wangian yang paling saya gemari selain wangian lain yang kebanyakannya berwarna merah jambu.
Setelah hampir setiap hari memakai minyak wangi terbaru dalam koleksi ini, saya teringatkan sesuatu apabila tercium baunya. Bau yang saya pernah kenal, kira-kira 13 tahun yang lalu.
Saya mempunyai seorang rakan baik semasa kecil sehingga ke bangku sekolah. Nurul Syahida Mohd Ridwan namanya. Sebelum kami bersekolah rendah bersama-sama, saya memanggilnya Sya. Apabila masuk alam persekolahan, guru-guru dan rakan-rakan mula memanggilnya Nurul.
Orangya manja, manis dan berwajah kacukan Cina. Mempunyai kulit putih langsat dan gemar berambut panjang paras pinggul, rambutnya lurus tanpa membuat rawatan rebonding. Setiap hari ke sekolah dia akan memakai bedak dan losyen yang baunya mirip haruman Mariah Carey's Luscious Pink ini. Dia sangat menjaga kebersihan dirinya, begitu juga menjaga persahabatan bukan dengan saya sahaja, malah dengan semua rakan yang rapat dengannya.
Saya dan dia sering bersaing dalam merebut tempat pertama di dalam kelas, semenjak tahun 1 sehinggalah tahun 6. Jika ada pertandingan dan memerlukan wakil sekolah, kami selalu akan dipilih bersama-sama, tidak pernah ditinggalkan keseorangan. Kami seperti kembar di sekolah. Saya belajar Matematik dengannya kerana dia sangat gemar matapelajaran itu.
Kalau bergaduh, sekejap sahaja, kemudian berbaik kembali. Bukan bergaduh perkara besar pun. Guru kelas pun faham kami berkelahi kerana kedudukan dalam kelas, jawatan pengawas dan lain-lain yang tidak serius. Bak kata orang, berkelahi secara intelligent. Hehe.
Apa yang istimewa dengan Nurul? Dia banyak mengajar saya dari segi akademik, kehidupan dan juga doa-doa amalan yang mana pada saya tidak semua kawan kita akan membimbing kita begitu. Sehingga hari ini saya belum jumpa kawan-kawan lain yang boleh menandinginya. Dia sangat jujur, baik dan sayangkan kawan-kawannya. Semasa di tingkatan 1 dia pernah menelefon ke rumah dan ingin berbual dengan saya. Tingkatan 3 saya menerima kad hari raya yang terakhir daripadanya. Di dalam kad itu dia menceritakan bahawa dia akan belajar Fizik dan Kimia, dan dia masih sukakan Matematik. Dia juga mula diminati oleh pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Saya membalas kad raya itu tapi sehingga hari ini belum pernah menerima balasan.
Mungkinkah sudah melupakan saya? Mungkin ya, mungkin tidak. Apa yang pasti, saya tidak pernah melupakannya sehingga kini. Saya mencuba menjejakinya di internet, Friendster dan sebagainya kalau-kalau terjumpa, malangnya pencarian saya gagal.
Saya masih ingat yang keluarganya mempunyai perniagaan sutera dan songket di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Saya cuba mencari lokasi kedai itu di internet kerana khuatir jika mereka telah berpindah. Sungguh gembira kerana kedainya masih di situ dan antara yang paling berjaya di Pasar Payang kerana menerima banyak pujian daripada pelanggan-pelanggan tempatan mahupun luar negeri. Saya berharap saya akan ke sana suatu hari nanti dan bertanya khabar tentangnya. Walaupun mungkin dia tiada di situ membantu ibu bapanya menguruskan perniagaan, tetapi paling kurang dapatlah saya tahu apa yang dia buat sekarang, lokasi tempat tinggal dan nombor yang boleh dihubungi.
Ya, saya masih berdoa supaya dapat bertemu kembali, setelah 13 tahun berpisah. Walaupun dia mungkin sudah berumahtangga atau tidak semesra dulu. Saya cuma mahu lihat dia baik-baik saja dan tumpang gembira atas apa jua yang dilakukan kerana itulah seorang kawan baik perlu buat =)
Terima kasih kepada team Blog Malaysia dan Founder, Dr. Koh.
Di penghujung hari sebelum 2009 menyinsing, di kesempatan yang secebis ini saya mahu berkongsi dengan pembaca suka dan duka, perit jerih menjalani kehidupan yang berliku sepanjang tahun ini.
Januari
- Ayahanda bertugas di Kalimantan, Indonesia menyebabkan kami hidup saling bergantung antara adik-beradik
- 22/2/2008, jam 10.30 malam: Peristiwa ragut berlaku semasa saya dan seorang rakan dalam perjalanan pulang dari Jonker Walk, Melaka. Saya mengalami retak tulang hidung, cedera di tangan, dahi dan pinggang, manakala rakan cedera di lengan dan peha terseliuh kerana dihempap motorsikal. Motorsikal yang kami naiki terjatuh di tengah jalan semasa bergelut dengan peragut yang juga menaiki motorsikal Yamaha Lagenda berwarna hijau-hitam. Nombor pendaftaran samar-samar. Peragut gagal mendapatkan beg tangan saya. Alhamdulillah.
- hari lahir saya. selalunya arwah ibu sentiasa ingat. sekarang, baik ayahanda mahupun keluarga lain, semuanya lupa =(
- hari lahir mynizam yang sentiasa diingati
- berita krisis makanan dunia
- harga beras mulai naik sekali ganda
- menjadi pembeli online yang sangat kerap, hobi baru yang tidak boleh dielakkan
- 2/6/2008: suka dan duka, mengalami kepayahan dalam industrial training di Jalan P.Ramlee, KL
- kereta dilanggar dari arah belakang di Jalan Setiawangsa, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja
- harga minyak mendadak naik sehingga berlaku tunjuk perasaan setiap hari di sekitar ibu kota
- genap dua tahun pemergian ibunda tercinta
- pemergian sepupu lelaki ke Rahmatullah pada 3 Ramadhan
- 19/9/2008: tamat industrial training
- berhari raya dengan meriah di kampung, tapi masih terasa kosong tanpa ibunda
- cermin kereta dipecah oleh perompak di tempat letak kereta, Tesco Ampang pada jam 10.00 malam. suspek mungkin melihat sesuatu di dalam kereta tapi belum sempat mengambilnya. Modus operandi ialah, menjadi budak pengedar 'flyers' dan melihat-lihat kereta yang telah disasar. kerana begitu banyak flyers di hadapan cermin kereta saya! kereta orang lain sekeping pun tiada.
- 10/11/2008: menjadi pelajar kembali
- 6/12/2008: tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. mengakibatkan kami sekeluarga menumpang di rumah ibu saudara
- bakal menamatkan pengajian
Saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca. Nantikan kemunculan wajah baru kemamanrepublic.vox.com di tahun baru nanti Insyaallah.
Buat pembaca yang beragama Islam (majoriti), tingkatkan keimanan pada Allah, jadilah mukmin/mukminah yang sentiasa basah bibirnya dengan kalimah memuji Allah. Kita semakin hampir dengan akhir zaman, semakin maju kehidupan kita, semakin jahil jadinya manusia sekarang. Janganlah kita tergolong dalam golongan manusia akhir zaman. Amin.
Ramai yang bertanya pada saya, bagaimana kawasan itu? berapa jaraknya dengan rumah saya? di mana saya tinggal sekarang?
Susah benar saya ingin terangkan !
Begini sajalah, saya sediakan peta ini untuk tatapan umum. Supaya dengan bantuan gambar bisa membantu anda memahami situasi penduduk Bukit Antarabangsa kini. Tidak semua orang yang harus mengosongkan kediaman, dan jalan alternatif sudah pun siap dibina bagi memudahkan penduduk di kawasan atas hendak keluar masuk. Dijangka jalan utama yang rosak akibat runtuhan tanah itu akan siap dibaikpulih pada 4 Januari 2009 nanti.
Gambar diambil dari myproperties.easybizs.com/?p=141 dan www.dromoz.com/directory/maps/?epid=7406
Terima Kasih.
Ini peta Bukit Antarabangsa. Shaded area yang berwarna coklat itu adalah kawasan tanah runtuh.
Yang saya tandakan bulat di hujung kiri peta adalah tempat di mana saya tinggal sehingga sekarang dan masih selamat iaitu Kyoto Gardens Condominium.
Terima Kasih diucapkan kepada pembaca-pembaca yang memberikan beberapa pandangan tentang penulisan saya tentang kes tanah runtuh ini. Walaupun tidak begitu meluas "jajahan" blog ini, namun sungguh terharu kerana angka pembaca meningkat saban hari.
Saya amati dalam tempoh sekarang, berita mengenai kes tanah runtuh ini sudah makin lenyap dari media massa. Tambah melenyapkan lagi apabila pengumuman tentang kawasan-kawasan yang selamat didiami.
Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah sejauh manakah pemaju perumahan ini 'serik' dengan pembinaan rumah di lereng bukit? Saya dapat rasakan yang masih ramai pemaju perumahan meneruskan projek mereka walaupun bukan di sekitar Bukit Antarabangsa. Mengapa masih berdegil?
Maaf untuk ayat ini-- Adakah berdegil kerana sudah banyak wang yang disogok masuk supaya permohonan projek diluluskan? Jika tidak, masakan segala projek ini makin menjadi-jadi dibangunkan?
Perdana Menteri, dan segala pihak berkuasa tempatan sudah memberi amaran bahawasanya mulai sekarang tidak ada lagi sebarang pembinaan rumah di lereng bukit. Seperti yang berlaku di Highland Towers pada 1992, saya masih tidak nyanyuk atau pekak. Walaupun usia saya ketika itu 8 tahun tapi saya masih ingat perkataan "Hentikan pembangunan di lereng bukit" yang sentiasa keluar di corong-corong televisyen dan radio ketika itu.
Tapi masih ada juga yang gemar membangunkan rumah di kawasan berisiko itu. Persoalannya kenapa? Janganlah bila sudah terhantuk baru terngadah, kemudian sudah maut baru nak endah.
Sebagai salah seorang penduduk yang menerima akibat pembinaan rumah di lereng bukit, saya ingin sekali menegur pihak-pihak yang berkenaan yang tidak perlu saya huraikan di sini, kekerasan barangkali adalah penyelesaian yang terbaik untuk pemaju-pemaju yang degil. Jika kita mampu membendung kemasukan PATI dengan cara kekerasan, kenapa pula tidak diadaptasi dalam kes sebegini? Jika kita dapat membendung kemasukan susu bermelamin ke dalam pasaran Malaysia, kenapa pula tidak mampu membendung kes ini? Jika kita dapat memboikot produk Belanda suatu ketika dulu, kenapa tidak memboikot pemaju-pemaju lereng bukit ini?
Seperti yang saya katakan tadi, di manakah kekerasan pihak tertentu ini disimpan? Perlu ambil perkara ini dengan sangat serius sebelum kita lihat suatu masa nanti, VVVIP pula yang maut tertimbus dalam runtuhan. Bila dikemukakan saman, tiada siapa berani bersuara !
Jangan buat anggapan melulu. Tidak semua orang yang tinggal di Bukit Antarabangsa itu orang kaya. Tidak semua yang menyewa di sana itu orang miskin, tidak pula semua orang yang membeli rumah di situ orang kaya.
Antara perbezaan yang amat ketara yang dapat kita lihat setelah beberapa minggu kejadian tanah runtuh ini terjadi ialah, kebanyakan orang yang menyewa lot-lot apartment/kondominium/banglo akan memunggah segala barang mereka untuk berhijrah ke tempat yang lebih selamat. Mereka hanya menyewa jadi mudah bagi mereka untuk mencari petempatan baru. Ada juga bekas penyewa di sini mula mensasar rumah untuk dibeli. Sebagai persediaan di masa hadapan.
Manakala pembeli lot-lot mewah atau sederhana di sini, sama ada mereka akan terus tinggal ataupun turut memunggah barang untuk berpindah ke rumah kedua atau ketiga. Tapi itu hanya 50 keluarga dalam setiap 300 keluarga.
Seperti kami sekeluarga, berlainan kesnya. Kami memang tinggal di Bukit Antarabangsa sebelum dan selepas kejadian (kini). Bezanya hanya rumah. Sebelum kejadian kami menyewa di Riverdale Park, tapi memang ketika itu sudah berkemas untuk berpindah ke Kyoto Gardens, yang letaknya dalam anggaran 500 meter dari Riverdale Park. Minggu lepas kami sudah mengangkut barang-barang menaiki bukit, yang mana situasi ini agak jelik. Orang lain mengangkut barang sebanyak mungkin untuk turun dari bukit itu, tapi kami pula yang makin naik ke sana.
Kini, kami sepenuhnya berpindah ke Kyoto Gardens, rumah yang dibeli terlebih awal sebelum tanah runtuh. Rumah yang disewa di Riverdale Park sudah diserahkan kepada pemiliknya semula. Entah ada yang akan menyewa entah tidak. Kami tidak tahu.
Kami akan meneruskan revolusi kehidupan di BUKIT ANTARABANGSA. Ya Allah selamatkanlah kami. Rumah baru, tahun baru..jalan baru..azam baru?
Ah, kini...Bukit Antarabangsa sudah berubah sekelip mata sahaja. Kawasan banglo-banglo runtuh itu nanti akan menjadi tanah tandus, yang tidak berbukit akan menjadi bukit akibat penolakan tanah yang runtuh itu. Rasa sedih pun ada juga. Inilah yang dikatakan kuasa Allah. Allah berhak mengubah sesuatu, menterbalikkan tanah dan sebagainya. Kita pula berhak berfikir dan beringat.
Terima kasih pada pembaca-pembaca. Ramai yang mengajukan soalan kepada saya, kenapa begitu tekun menulis tentang tragedi tanah runtuh. Gayanya saya ini seorang wartawan sahaja.
Lupa untuk diberitahu di sini, ya, saya memang gemar menulis.
Hal ini dikesan semasa di bangku sekolah lagi. Permulaan saya masuk tadika, walaupun masih buta huruf, namun saya sudah gemar menulis dan melukis sehingga wujud satu benjolan di jari hantu saya. Ibu berkata itu tanda orang kuat menulis kerana memegang pena terlalu kuat. Benarkah begitu? Saya tidak pasti.
Perang Teluk di negara Timur Tengah itupun saya masih ingat. Ketika itu saya darjah 1. Walaupun tidak tahu sejarah peperangan itu, namun saya mencatitkan "Perang Teluk" setiap hari pada kalendar pemberian ayah, sehinggalah tamatnya perang tersebut.
Tahun dua, 1992, kejadian kondominium runtuh di Highland Towers. Saya masih ingat, tarikh sebenarnya ialah 1992 dan bukan 1993 seperti yang diuar-uarkan oleh media massa. Kerana tidak tahu mengeja perkataan "Highland', saya menulisnya sebagai 'Hailend" Towers dan mencatat segala hal yang berlaku di dalam sebuah buku log akaun ayah saya.
Walaupun ketika itu saya tinggal di Terengganu. Saya menulis seperti keratan akhbar dengan lukisannya sekali. Isi kandung tulisan saya itu antaranya tertulis, "Mangsa yang ditemui di dalam bangunan itu ialah orang Indonesia Umi dan anak bosnya..." (sebenarnya Umi dan anak majikannya yang ditemui selepas 2 hari kejadian itu, dan mereka masih hidup). Bersebelahan "akhbar" itu saya lukiskan seorang wanita dan seorang bayi sedang berada di atas katil di hospital sambil memegang kepalanya yang berbalut. Sungguhpun lukisan itu buruk tapi masih berjaya mengecam bahawa itu ialah Umi dan bayi tersebut.
Selain daripada perihal semasa, saya juga menulis cerita bagaimana ibu saya melahirkan adik, ketika itu saya tahun 1. Susun atur ayat-ayat saya sungguh melucukan, tapi itulah hasil karya seorang anak berusia tujuh tahun ketika itu. Isi kandung tulisan itu antaranya ialah "Ma ada di hospital cukai, adik dihantar ke hospital kuantan. Adik masuk dalam tempat khas bayi kerana tidak cukup bulan..Malam tadi saya tidur di rumah maklong"
Kemudian, saya menulis pula resepi yang mengarut di dalam buku resepi milik ibu saya. Walaupun langsung tidak sedap jika diikuti langkah-langkahnya, bila saya membelek kembali buku itu sekarang, di mana usia saya adalah 24, sangat mencuit hati.
Pabila saya berada di tahun 3, saya memenangi tempat pertama dalam pertandingan mengarang tahap 1. Hobi itu kemudian menular hingga ke darjah 6. Karangan saya sering difotokopi guru sebagai contoh karangan terbaik pada masa itu. Jika ada ujian bulanan, pastilah karangan saya yang pertama dibaca oleh guru di depan rakan-rakan sekelas saya. Guru yang membaca karangan itu ialah Cikgu Osman, beliau kini mengajar di sebuah sekolah di Kelantan. Beliaulah yang banyak menolong saya memperkemas karangan. Selain daripada beliau ada seorang lagi yang juga guru Bahasa Melayu, Cikgu Kamal Mustaffa yang kini mengajar di sebuah sekolah di Dungun.
Tingkatan 1, saya gemar menulis surat kepada guru-guru di sekolah rendah dan menceritakan keadaan saya di tempat baru.
Dan semasa di tingkatan 3 saya menghasilkan beberapa novel saya sendiri yang ditulis di belakang helaian-helaian buku latihan yang tidak diguna lagi. Kawan-kawan juga ada yang meminjamnya dari saya. Sungguh memalukan kerana cerita yang entah apa-apa pun masih ada yang hendak membaca. Juga memberi khidmat menulis nama dalam tulis khat untuk kawan-kawan. Pun melucukan.
Semasa usia saya 18 tahun, saya mula terlibat dalam penulisan blog. Blog pertama ditulis di Blogger. Kemudian di Multiply dan kini di Vox dan juga Blogger (lagi). Usia 22 tahun saya mula menulis cerita peribadi dan sehingga kini masih mengumpul sehingga menjadi sebuah buku. Pun begitu hasil tulisan ini tidak didedahkan di mana-mana bahkan ia tersimpan di dalam suatu tempat misteri iaitu di dalam poket beg laptop. Hahahaha.
Oh, maaf saya bukan membuat ucapan untuk Anugerah Nobel. Hanya mengimbau kembali saat suatu masa dahulu. Dan hingga sekarang saya tidak akan berhenti mengarang walau apa halangan sekalipun.
Buku-buku yang ditulis oleh penulis cilik suatu masa dulu itu masih disimpan di stor rumah. Walaupun ada di antaranya sudah tidak lengkap namun itulah yang akan saya buktikan kepada pembaca semua, mungkin saya dilahirkan untuk menjadi seorang jurnalis. Tapi, saya tidak akan merealisasikannya kerana tidak mahu melihat dunia saya gelap kerana tiada sambutan hebat. Cukuplah sekadar mengisi masa lapang sahaja, atau menyimpan kenangan yang tidak mungkin padam sampai bila-bila. Macam bencana alam kat Bukit Antarabangsa tu, berlaku mungkin sekali semasa hayat kita, jadi harus simpan baik-baik cerita ini.
Sekian.
Dengan selesainya pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan sementara BR90, penduduk di kawasan sekitar kejadian runtuhan 6 Disember lalu kini dapat keluar masuk dengan lebih selamat.
Jalan alternatif yang dahulunya berlumpur kini sudah berturap. Sebahagian rumah yang ranap juga telah dan sedang dibersihkan. Kereta-kereta yang hancur dihempap blok-blok konkrit rumah juga telah dikeluarkan.
Kini kerja-kerja lebih bertumpu kepada membaikpulih jalan utama (Jalan Bukit Antarabangsa) dan kira-kira mengambil masa dua bulan.
Pengumuman telah dibuat semalam, diisytiharkan oleh Ketua Polis Daerah Selangor--kawasan-kawasan yang telah dikaji struktur tanah dan selamat untuk didiami semula. Antaranya ialah Tamn Bukit Mewah (banglo-banglo lorong ke-3 dan 4), Kondominium Impian Selatan (sesetengah blok sahaja) dan Taman Bukit Jaya (hanya sebelah barisan sahaja).
Ya, mulai petang semalam jalan alternatif mulai sesak kembali kerana penduduk sudah mulai berpindah semula ke kediaman masing-masing. Alhamdulillah.
Jalan alternatif yang sedang digunakan kini juga telah mengalami pembaharuan. Bagi saya ianya sempurna (bergarisan jelas, pencahayaan cukup dan laluan berlampu isyarat). Lampu isyarat dipasang di kawasan Jalan Bukit Mewah 2 kerana di situ masih mempunyai jalan sehala yang sempit dan hanya sebuah kenderaan searah yang dapat melaluinya. Jalan itu ialah kawasan halaman banglo yang pihak berkuasa potong pagarnya untuk dibuka laluan bagi kemudahan orang ramai. Banglo terbabit akan mendapat pampasan kerajaan kerana khabarnya akan di'demolish' dan dibina jalan dua hala.
Pada mulanya agak fobia melalui kawasan yang pernah menjadi tragedi itu sendirian. Terutama di tengah malam. Tapi apabila sudah terbiasa, saya rasa tiada apa-apa. Pihak polis sudah ditempatkan di setiap simpang jalan untuk tujuan pemerhatian.
Welcome Home Antarabangsa Residents !! A place to call home is here and always be here. (I guess)
Lepas ni jangan la buat dosa kering..hehe
Ini jalan alternatif yang dah berturap kemas..Merentasi hutan jugakla..
Yang canvas biru tu diorang tutup tanah runtuh..banglo-banglo tu semua akan dilupuskan.
Ada lampu isyarat..yang tak boleh dilanggar ! Kalu langgar lampu isyarat, terlanggarlah kereta !
Jambatan baru..dan mungkin bersifat kekal kot?
Bukan senang untuk mencari rumah di atas tanah rata di bandaraya KL ni. Kebanyakan kawasan perumahan dah terlalu sesak. Oleh sebab KL terlalu kecil untuk menampung umat manusia yang dari Malaysia dan juga seluruh dunia, saya kira sudah tiada lagi ruang untuk membina rumah, kecuali pinggir-pinggir jalan, atau dalam hutan simpan.
Kalau boleh kami ingin mencari rumah yang dapat mengekalkan suasana kehidupan di Bukit Antarabangsa.
Kami mencari-cari rumah di sekitar Ampang Hilir. Terlihat pula kawasan perumahan baru dinamakan Raintree Residence, berhadapan dengan Raintree Club.
Mungkin akan diambil kira, tapi bergantung kepada rezeki dan keizinan Allah Taala. Tara Ampang Hilir atau Townhouse di Jalan Ritchie tu memang sudah diketahui harganya hingga mencecah jutaan ringgit. Mana mampu lagi kerana masih punya banyak komitmen lain, ekonomi pun kan sedang merosot. Rakyat digesa kerajaan supaya berjimat cermat dan mula menyimpan wang.
Lokasi rumah akan datang hendaklah strategik; strategik dari segi jarak untuk ke tempat kerja yang tidak jauh, dekat untuk ke pasaraya, kedai makan, hospital atau klinik dan kemudahan-kemudahan lain.
Cadangan saya ialah kawasan Ampang, dekat Taman Dagang atau sewaktu dengannya. Tapi belum mengkaji 'struktur' rumah jenis apa lagi.
Ini mungkin persediaan kami sekiranya kawasan Bukit Antarabangsa diisytiharkan tidak selamat dihuni. Akhbar semalam melaporkan bahawa akan berlaku tanah runtuh lagi tahun 2009. Manusia berani berkata, tapi Allah lebih berani merealisasikannya. Wallahualam.
Berikut adalah perkataan-perkataan yang kita jumpa dan sedang hangat diperkatakan dalam media. Anda harus tahu maksudnya supaya anda dapat bersedia dengan lebih lagi di masa hadapan.
- landslide - tanah runtuh
- hillslope - cerun bukit
- bukit antarabangsa - tanah dah murah
- SPCA - NGO yang membantu haiwan peliharaan
- evacuate - lolos/bolos atau keluar dari sesuatu tempat
- RELA - penceroboh banglo orang
- tanah mendap - berlaku lepas hujan
- bantuan - buang makanan kat tong sampah
- hotel - pusat pemindahan sementara mangsa tragedi
- natural disaster - bencana alam
- PGA - datang untuk tolong makan
- patrol car - kereta yang buat sesak
- Tumiran Kasdi - penduduk yang jerit depan YB
- shuttle - kenderaan untuk berebut