1 post tagged “bm”
Bahasa Melayu adalah anak dara sunti suatu masa dulu. Ramai bahasa yang ingin mendekatinya, mengoratnya namun BM jual mahal. Kecantikan rupa parasnya membuatkan semua bahasa lain selalu gila bayang. Selalu tidur bermimpikan BM.
Bila BM lalu sahaja di depan bahasa asing, kesemua mata mereka terpegun. Ada yang makan ais krim sampai tak sedar tergigit jari, ada yang nak qada hajat sampai terbatal niat itu, bahkan ada yang sudah berpunya tapi mengaku masih bujang.
Agaknya siapakah gerangan pilihan hati BM itu agaknya? English? Tamil? Kantonis? Ah, mustahil...BM kata dia berselera ketimuran, yang penuh dengan adat resam. Ini kerana didikan yang kukuh daripada kedua orang tua BM. Maka lahirlah hasil yang paling cantik di dalam kelasnya yang tersendiri. BM unik. Maka itulah ramai yang tertawan dengannya, baik daripada gerak lakunya yang lemah gemalai, percakapan yang tersusun indah, hinggalah pada semangat rohaniahnya yang sangat mencintai Tuhannya.
Mana-mana bahasa yang ingin mendekati BM terpaksa berlakon untuk belajar BM, mempelajari adat resam, dan ada yang berkeluarga angkat dengan saudara-mara terdekat BM asalkan dapat melihat BM dari jarak dekat, seterusnya memiliki BM sebagai teman hidup untuk selamanya.
Tapi, BM juga tidak kuat iman rupanya. Dia telah dinodai. Bukan sahaja satu, malah berbagai bahasa. Jijik. Mula-mula dengar desas-desus BM rapat dengan English. Ya, itu sudah lama. Cerita kemudiannya, BM intim dengan Kantonis dan Hakka. Lanjutannya, BM bercinta dengan Tamil. Seterusnya dengan Arab. Seterusnya? ah, macam-macam lagi sampai tak tahu asal usul bahasa itu.
BM juga sudah mengalami kejutan budaya, bayangkanlah daripada menjadi sopan santun dan sangat suci, dia menjadi tidak ubah seperti bahasa-bahasa barat yang tidak beradat dan beradab. Perilakunya tidak lagi menjadi igauan bahasa-bahasa teruna mahupun duda lain. Namun, bila BM lalu depan mereka, mereka buat tidak peduli saja. Buat-buat tidak nampak. Ada juga yang terus lari seperti nampak hantu bila terjumpa BM. Tak kurang juga ada yang mencemuh, mencaci bila berselisihan dengan BM di tepi jalanan.
Kasihan. Hina sungguh. Dinoda dan ternoda. Bila sekali dia memulakan, memang susah untuk dihentikan. BM melalui hidupnya yang menuju kegelapan, gelap, malap dan semakin kelam. Ibubapanya juga sudah tiada.
Yang mengejutkan lagi apabila BM tidak pernah berkahwin. BM juga didapati mandul. Saya kurang pasti bahasa mana yang membuat pemeriksaan keatas kemandulan BM. Kesucian BM diragui kini.
Persoalan utama: Siapakah yang meragut kesucian BM? Tidak akan kumaafkan dia yang bertanggungjawab itu.
BM..BM...
Betullah pujangga Arab mengatakan, "Disebalik pujian, terselitnya hinaan"
BM, pulanglah ke pangkal jalan.