20 posts tagged “landslide tragedy”
Pertama sekali maafkan saya pembaca sekalian..Berdiam diri bukan bermaksud lari daripada kenyataan atau 'digam' oleh pihak-pihak tertentu. TIDAK sekali-kali. Saya akan pastikan suara saya tidak akan terhenti begitu sahaja. Saya akan terus menulis sehingga suara saya kedengaran oleh mereka yang tertentu.
Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini kerana sudah menumpukan komitmen terhadap kerjaya baru saya.
Bukit Antarabangsa kini sudah muram, jika anda melihat foto-foto yang saya 'snap' ini anda juga dapat merasakan betapa tragisnya impak daripada peristiwa hitam itu.
Banglo-banglo ranap dahulu telah dirobohkan..2 banglo di sana hanya menunggu masa untuk dirobohkan.
Di sana bermulanya runtuhan...dahulunya di kaki bukit itulah banglo-banglo mewah tersergam indah.
Jalan baru berturap, dan banglo yang hanya sipi-sipi tempias runtuhan itu.
Banglo senget. Menanti waktu menyembah ke bumi.
Jalan turun dari Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, sehala sahaja. Kelihatan sunyi sepi. Pemilik-pemilik banglo yang terselamat pun tidak lagi tinggal di sini.
Jalan sehala menaiki Bukit Utama, Bukit Antarabangsa (yang juga jalan alternatif yang dibina dahulu). Lihatlah banglo itu sedang dalam proses merobohkannya.
Terasa seperti baru sahaja ia berlaku, hari ini sudah genap sebulan peristiwa pahit berlaku Sabtu, 6 Disember jam 3.45 pagi, dalam sekelip mata tanah dari bukit telah menimbuskan 14 unit banglo mewah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.
Tangisan mengiringi empat mangsa yang terkorban di dalam runtuhan itu, mereka ialah mendiang Dr. N. Yogeswari, mendiang Ng Yee Peng, Allahyarham Mohd Saiful Khas Datuk Shaharuddin dan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Su.
Kejadian ini memberikan iktibar kepada semua pihak, termasuk penduduk di kawasan itu.
Keadaan terkini di Bukit Antarabangsa, penduduk-penduduk berhampiran Taman Bukit Mewah sudahpun mulai berpindah ke kediaman masing-masing dan memulakan kehidupan di tahun baru ini seperti sediakala. Kelihatan agak suram apabila melalui kawasan tanah runtuh. Jelas tergambar kemeriahan tetangga di kawasan itu, hilai tawa kanak-kanak, suasana di Taman Bukit Mewah itu sungguh meriah sebelum kejadian hitam itu. Kini, segalanya sudah lenyap, yang tinggal saki baki blok bangunan yang bakal diruntuhkan tidak lama lagi.
Sungguhpun saya sendiri merasa fobia untuk melalui jalan yang dipenuhi timbunan tanah di bahu jalan, keadaan seolah memaksa saya untuk terus berhadapan dengan situasi ini kerana sudah tiada jalan lain lagi yang boleh membawa saya keluar dan masuk ke kawasan rumah. Mungkin fobia hanya boleh dirawat apabila berdepan dengan apa yang kita takutkan itu.
Harapan saya dan ribuan penduduk Bukit Antarabangsa di sini agar tiada lagi pembangunan di sekitar kawasan ini bagi memastikan keadaan aman selain dapat memelihara ekosistem dan keaslian alam semula jadi. Mungkin sebelum ini kita semua alpa tentang alam, masing-masing tidak menghiraukan tentang bahaya atau perubahan muka bumi yang berlaku. Harusnya sekaranglah masa yang sesuai untuk mula peka terhadap alam sekitar dan dapat mengelak daripada berlaku lagi di masa hadapan.
Ahad lalu telah diadakan mesyuarat antara pengurusan Kyoto Gardens Condominium dengan semua penduduk di situ. Kali ini dihadiri oleh majoriti yang ingin mengetahui perkembangan terkini dan status keselamatan rumah yang didiami itu.
Jutaan terima kasih kepada pihak berkuasa dan pengurusan kerana setelah meneliti dan mengkaji keadaan kawasan di situ, akhirnya mereka menemui jawapan; keresahan penduduk mulai hilang setelah dijamin selamat tinggal di situ. Bagi mereka yang ingin membeli unit kediaman di sini juga bolehlah berbuat demikian sekarang.
Dalam jangka masa pendek ini, menurut pihak pengurusan, mereka akan mengadakan mesyuarat besar-besaran dengan kelab-kelab penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa ini dalam bekerjasama menangani masalah keselamatan setelah genap sebulan tragedi tanah runtuh yang meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa 6 Disember lalu.
Jalan utama yang rosak tempohari juga akan siap diguna semula tidak lama lagi.
Kerajaan jangan seperti hangat-hangat t*** ayam
Dalam pada itu, penduduk-penduduk di sini juga menyeru pihak kerajaan supaya mengambil serius dalam bertindak mengharamkan pembangunan di lereng-lereng bukit. Ini kerana sudah 17 tahun selepas peristiwa di Highland Towers masih terdapat pembangunan malah semakin pesat didirikan walaupun sudah berulang kali pihak kerajaan mengumumkan pengharaman itu.
Jelas sekali pihak pemaju tidak merasa takut untuk terus membina lot-lot rumah berhampiran kawasan kejadian tanah runtuh ini. Penduduk berharap biarlah kali ini kerajaan bersikap benar-benar tegas demi keselamatan penduduk yang lain. Kami di sini mulai merasa terancam dengan beberapa projek yang bakal didirikan terutamanya di puncak-puncak bukit kerana gusar perkara yang sama akan berlaku dan meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa. "Kerajaan janganlah seperti 'hangat-hangat t*** ayam' sahaja, bila terjadinya tanah runtuh, baru hendak bertegas tak boleh bina di lereng bukit. Tapi bila dah cerita ini makin lenyap dari media massa, pemaju pun naik (bina) balik, kalau macam tu saya pun boleh jadi pemaju perumahan", ujar salah seorang penduduk Bukit Antarabangsa.
Salam Tahun Baru buat semua pembaca. Ramai yang menantikan entri saya di tahun baru ini. Meskipun penat tapi saya rasa perlu ada sesuatu 'terhidang' di blog ini.
Saya, penulis yang mungkin tidak dikenali ramai, disorokkan wajah, identiti dan lokasi sebenar ini akan terus menulis artikel mengenai kejadian tanah runtuh ini. Saya akan protes habis-habisan segala kerja pembangunan di lereng bukit yang wujud di Malaysia amnya dan di KL khususnya. Kerana saya tidak mahu ramai mangsa tidak berdosa maut tertimbus.
Tidak mengira pangkat, darjat atau harta, semuanya manusia, makhluk Allah, Islam atau bukan Islam, semuanya benda bernyawa yang punya keluarga, orang-orang yang disayangi.
Semua orang pasti tidak mahu kehilangan orang yang disayangi buat selama-lamanya bukan?
Saya sudah mengalaminya, meskipun bukan kerana tragedi tanah runtuh ini. Dan berharap tidak mahu kejadian itu berulang lagi dalam tempoh sekarang.
Penantian untuk pihak berkuasa berwajib menguji struktur tanah ini bagaikan terlalu lama. Bukan salah mereka, keadaan cuaca yang tidak menentu di KL, hujan dan panas menyukarkan kerja-kerja ini. Pun begitu, menurut penduduk-penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa dan juga Taman Hillview yang terletak bersebelahan, tanah di kawasan ini memang diakui sejak dulu lagi, jenis tanah kapur di mana sangat 'fragile'.
Bila berlakunya hujan, air yang berada di bawah tanah seakan 'terperangkap'. Apabila semua terkumpul, laluan air di bawah tanah menjadi semakin besar dan longgar. Kita nampak seperti utuh di luar, sedangkan di bahagian dalam tanah sudah mulai mengikut arus perjalanan air.
Begitulah digambarkan semasa kejadian tanah runtuh 6 Disember lalu. Kuasa air mampu menggerakkan sekumpulan tanah dari atas bukit menuruni curam sehingga ke bawah. Hakisan lebih mudah berlaku apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab 'mengusik' ekosistem bumi dengan membina batu-batu besar (rumah). Tanah yang lembut dan 'manja' ini tidak mampu menampung semuanya, jadi daripada hakisan kecil menjadi runtuh yang besar sehingga makan diri sendiri.
Nasib baik juga tanah runtuh dan 'membawa' rumah ke hadapan. Bagaimana jika ia 'menelan' banglo-banglo itu masuk ke dalam perut bumi? Tidak mustahil. Tidak mustahil berlaku SEKIRANYA tiada pencegahan daripada sekarang.
Kerajaan, tolonglah HENTIKAN PEMBANGUNAN LERENG BUKIT !!!!
Selagi ia tidak dibanteras, selagi itu saya tidak akan berdiam diri.
DI bawah ini adalah lukisan (sendiri) struktur tanah Bukit Antarabangsa. Walaupun sungguh hodoh dibandingkan dengan lukisan anak-anak anda, paling tidakpun hayati dan fikirkanlah.
.
1. Objek berwarna ungu ialah rumah-rumah yang dibina di lereng bukit.
2. Hijau adalah pokok-pokok yang menutupi bukit, dengan bantuan pokok-pokok yang tumbuh meliar di atas bukit ini, maka dapatlah tanah itu menahan daripada berlaku hakisan
3. Coklat mewakili tanah...tanah bukit, yang menjadi mendap akibat kandungan air bawah tanah yang terlampau banyak
4. Anak panah berwarna hitam mewakili laluan air
5. Biru mewakili air yang berada di bawah tanah. Apabila musim hujan, air banyak meresap ke dalam tanah dan menjadi kumpulan air yang besar
Ramai yang bertanya pada saya, bagaimana kawasan itu? berapa jaraknya dengan rumah saya? di mana saya tinggal sekarang?
Susah benar saya ingin terangkan !
Begini sajalah, saya sediakan peta ini untuk tatapan umum. Supaya dengan bantuan gambar bisa membantu anda memahami situasi penduduk Bukit Antarabangsa kini. Tidak semua orang yang harus mengosongkan kediaman, dan jalan alternatif sudah pun siap dibina bagi memudahkan penduduk di kawasan atas hendak keluar masuk. Dijangka jalan utama yang rosak akibat runtuhan tanah itu akan siap dibaikpulih pada 4 Januari 2009 nanti.
Gambar diambil dari myproperties.easybizs.com/?p=141 dan www.dromoz.com/directory/maps/?epid=7406
Terima Kasih.
Ini peta Bukit Antarabangsa. Shaded area yang berwarna coklat itu adalah kawasan tanah runtuh.
Yang saya tandakan bulat di hujung kiri peta adalah tempat di mana saya tinggal sehingga sekarang dan masih selamat iaitu Kyoto Gardens Condominium.
Hari ini saya terbaca satu berita dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Bukan semua penduduk kaya'.
Dalam laporan itu menulis, Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa hanya dapat pungutan sebanyak RM 160,000 semenjak ia ditubuhkan pada hari pertama kejadian.
Pada saya ini bukanlah suatu perkara yang diluar jangkaan. Persepsi masyarakat tentang kami penduduk Bukit Antarabangsa ini adalah daripada golongan kaya-raya. Sekali lagi diingatkan, bukan semua kaya raya, bukan semua senang lenang seperti yang anda lihat, tonton, dengar dan gambarkan. Dianggarkan hanya 40% keluarga di situ terdiri daripada golongan kaya, 35% golongan sederhana manakala 25% golongan biasa.
Saya bersetuju dengan artikel itu yang bertulis, "Disebabkan tinggal di Bukit Antarabangsa mereka dianggap orang kaya sedangkan masyarakat tidak tahu kadar sewa apartmen di sana murah, ada yang sekitar RM500 sahaja," -petikan ucapan Datuk Ismail Kijo, Pengerusi Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa.
Memang benar, Riverdale Park Apartment sebagai contoh, ada sesetengah pemilik unit berkenaan memberi kadar sewa antara RM 500 hingga RM 800 sahaja, yang mana semua orang pun mampu tinggal di sini. Usahlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hanya kerana kawasan ini kawasan kediaman elit, masyarakat luar tidak mahu menghulurkan derma kerana berpendapat kami semua sudah kaya.
Cukuplah dengan 'kerenah' mangsa-mangsa runtuhan di Taman Bukit Mewah yang meminta-minta untuk diberikan layanan istimewa; tinggal di hotel bertaraf lima bintang, makanan disajikan juga dari hotel bertaraf lima bintang (kerana makanan di dalam bungkusan tidak seenak masakan pembantu rumah import) dan pampasan atas nilai kerugian harta benda. Pada saya hanya sebilangan kecil sahaja yang bersikap angkuh atau 'bodoh sombong' begini.
Fokus bantuan ini bukan sahaja tertumpu untuk mangsa-mangsa di Taman Bukit Mewah (yang memang mewah-mewah orangnya) sahaja, tetapi untuk penduduk-penduduk yang tinggal di Kondominium Impian Selatan. Mereka di sini ada yang mengalami masalah tempat tinggal sehingga sekarang, masalah kewangan dan masalah kerja. Oleh kerana jadual persekolahan tahun baru akan dibuka tidak lama lagi, pastilah mereka mengalami masalah untuk menyediakan kelengkapan ke sekolah anak-anak mereka dahulu. Jangan terkejut jika ada sesetengah daripada penduduk kondominium itu terpaksa menyewa di tempat lain, ini menyebabkan mereka terpaksa membayar sewa untuk dua rumah, menyelenggara rumah dan sebagainya.
Oleh itu saya menyarankan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak perlu menghulurkan derma sekiranya timbul di hati perasaan tidak ikhlas. Kami juga tidak meminta-minta diberikan bantuan seperti ini jika kecaman bertalu-talu hinggap ke telinga. Yang sudah berlaku itu biarkanlah berlaku. Beri kami waktu untuk menyesuaikan kehidupan dengan keadaan terkini.
Apa-apapun, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat menjayakan Tabung Bantuan Bencana Alam Bukit Antarabangsa ini, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM), penyumbang-penyumbang individu dan badan-badan pertubuhan. Semoga kalian semua diberkati Allah.
#include <bukitantarabangsa.h>
#include <projecthillslope.h>
int main()
{
banglo mewah (40);
if (runtuh x>14, x=14++;
stop.project;
)
while(banglo.kosongkan)
do
{
rasuah;
rumah selamat
}
else
{
start.project;
}
return (hillslope);
}
### sudah lama tidak berprogramming. maafkan atas kesumbangan C++ ini.
Terima Kasih diucapkan kepada pembaca-pembaca yang memberikan beberapa pandangan tentang penulisan saya tentang kes tanah runtuh ini. Walaupun tidak begitu meluas "jajahan" blog ini, namun sungguh terharu kerana angka pembaca meningkat saban hari.
Saya amati dalam tempoh sekarang, berita mengenai kes tanah runtuh ini sudah makin lenyap dari media massa. Tambah melenyapkan lagi apabila pengumuman tentang kawasan-kawasan yang selamat didiami.
Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah sejauh manakah pemaju perumahan ini 'serik' dengan pembinaan rumah di lereng bukit? Saya dapat rasakan yang masih ramai pemaju perumahan meneruskan projek mereka walaupun bukan di sekitar Bukit Antarabangsa. Mengapa masih berdegil?
Maaf untuk ayat ini-- Adakah berdegil kerana sudah banyak wang yang disogok masuk supaya permohonan projek diluluskan? Jika tidak, masakan segala projek ini makin menjadi-jadi dibangunkan?
Perdana Menteri, dan segala pihak berkuasa tempatan sudah memberi amaran bahawasanya mulai sekarang tidak ada lagi sebarang pembinaan rumah di lereng bukit. Seperti yang berlaku di Highland Towers pada 1992, saya masih tidak nyanyuk atau pekak. Walaupun usia saya ketika itu 8 tahun tapi saya masih ingat perkataan "Hentikan pembangunan di lereng bukit" yang sentiasa keluar di corong-corong televisyen dan radio ketika itu.
Tapi masih ada juga yang gemar membangunkan rumah di kawasan berisiko itu. Persoalannya kenapa? Janganlah bila sudah terhantuk baru terngadah, kemudian sudah maut baru nak endah.
Sebagai salah seorang penduduk yang menerima akibat pembinaan rumah di lereng bukit, saya ingin sekali menegur pihak-pihak yang berkenaan yang tidak perlu saya huraikan di sini, kekerasan barangkali adalah penyelesaian yang terbaik untuk pemaju-pemaju yang degil. Jika kita mampu membendung kemasukan PATI dengan cara kekerasan, kenapa pula tidak diadaptasi dalam kes sebegini? Jika kita dapat membendung kemasukan susu bermelamin ke dalam pasaran Malaysia, kenapa pula tidak mampu membendung kes ini? Jika kita dapat memboikot produk Belanda suatu ketika dulu, kenapa tidak memboikot pemaju-pemaju lereng bukit ini?
Seperti yang saya katakan tadi, di manakah kekerasan pihak tertentu ini disimpan? Perlu ambil perkara ini dengan sangat serius sebelum kita lihat suatu masa nanti, VVVIP pula yang maut tertimbus dalam runtuhan. Bila dikemukakan saman, tiada siapa berani bersuara !
Jangan buat anggapan melulu. Tidak semua orang yang tinggal di Bukit Antarabangsa itu orang kaya. Tidak semua yang menyewa di sana itu orang miskin, tidak pula semua orang yang membeli rumah di situ orang kaya.
Antara perbezaan yang amat ketara yang dapat kita lihat setelah beberapa minggu kejadian tanah runtuh ini terjadi ialah, kebanyakan orang yang menyewa lot-lot apartment/kondominium/banglo akan memunggah segala barang mereka untuk berhijrah ke tempat yang lebih selamat. Mereka hanya menyewa jadi mudah bagi mereka untuk mencari petempatan baru. Ada juga bekas penyewa di sini mula mensasar rumah untuk dibeli. Sebagai persediaan di masa hadapan.
Manakala pembeli lot-lot mewah atau sederhana di sini, sama ada mereka akan terus tinggal ataupun turut memunggah barang untuk berpindah ke rumah kedua atau ketiga. Tapi itu hanya 50 keluarga dalam setiap 300 keluarga.
Seperti kami sekeluarga, berlainan kesnya. Kami memang tinggal di Bukit Antarabangsa sebelum dan selepas kejadian (kini). Bezanya hanya rumah. Sebelum kejadian kami menyewa di Riverdale Park, tapi memang ketika itu sudah berkemas untuk berpindah ke Kyoto Gardens, yang letaknya dalam anggaran 500 meter dari Riverdale Park. Minggu lepas kami sudah mengangkut barang-barang menaiki bukit, yang mana situasi ini agak jelik. Orang lain mengangkut barang sebanyak mungkin untuk turun dari bukit itu, tapi kami pula yang makin naik ke sana.
Kini, kami sepenuhnya berpindah ke Kyoto Gardens, rumah yang dibeli terlebih awal sebelum tanah runtuh. Rumah yang disewa di Riverdale Park sudah diserahkan kepada pemiliknya semula. Entah ada yang akan menyewa entah tidak. Kami tidak tahu.
Kami akan meneruskan revolusi kehidupan di BUKIT ANTARABANGSA. Ya Allah selamatkanlah kami. Rumah baru, tahun baru..jalan baru..azam baru?
Ah, kini...Bukit Antarabangsa sudah berubah sekelip mata sahaja. Kawasan banglo-banglo runtuh itu nanti akan menjadi tanah tandus, yang tidak berbukit akan menjadi bukit akibat penolakan tanah yang runtuh itu. Rasa sedih pun ada juga. Inilah yang dikatakan kuasa Allah. Allah berhak mengubah sesuatu, menterbalikkan tanah dan sebagainya. Kita pula berhak berfikir dan beringat.
Dengan selesainya pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan sementara BR90, penduduk di kawasan sekitar kejadian runtuhan 6 Disember lalu kini dapat keluar masuk dengan lebih selamat.
Jalan alternatif yang dahulunya berlumpur kini sudah berturap. Sebahagian rumah yang ranap juga telah dan sedang dibersihkan. Kereta-kereta yang hancur dihempap blok-blok konkrit rumah juga telah dikeluarkan.
Kini kerja-kerja lebih bertumpu kepada membaikpulih jalan utama (Jalan Bukit Antarabangsa) dan kira-kira mengambil masa dua bulan.
Pengumuman telah dibuat semalam, diisytiharkan oleh Ketua Polis Daerah Selangor--kawasan-kawasan yang telah dikaji struktur tanah dan selamat untuk didiami semula. Antaranya ialah Tamn Bukit Mewah (banglo-banglo lorong ke-3 dan 4), Kondominium Impian Selatan (sesetengah blok sahaja) dan Taman Bukit Jaya (hanya sebelah barisan sahaja).
Ya, mulai petang semalam jalan alternatif mulai sesak kembali kerana penduduk sudah mulai berpindah semula ke kediaman masing-masing. Alhamdulillah.
Jalan alternatif yang sedang digunakan kini juga telah mengalami pembaharuan. Bagi saya ianya sempurna (bergarisan jelas, pencahayaan cukup dan laluan berlampu isyarat). Lampu isyarat dipasang di kawasan Jalan Bukit Mewah 2 kerana di situ masih mempunyai jalan sehala yang sempit dan hanya sebuah kenderaan searah yang dapat melaluinya. Jalan itu ialah kawasan halaman banglo yang pihak berkuasa potong pagarnya untuk dibuka laluan bagi kemudahan orang ramai. Banglo terbabit akan mendapat pampasan kerajaan kerana khabarnya akan di'demolish' dan dibina jalan dua hala.
Pada mulanya agak fobia melalui kawasan yang pernah menjadi tragedi itu sendirian. Terutama di tengah malam. Tapi apabila sudah terbiasa, saya rasa tiada apa-apa. Pihak polis sudah ditempatkan di setiap simpang jalan untuk tujuan pemerhatian.
Welcome Home Antarabangsa Residents !! A place to call home is here and always be here. (I guess)
Lepas ni jangan la buat dosa kering..hehe
Ini jalan alternatif yang dah berturap kemas..Merentasi hutan jugakla..
Yang canvas biru tu diorang tutup tanah runtuh..banglo-banglo tu semua akan dilupuskan.
Ada lampu isyarat..yang tak boleh dilanggar ! Kalu langgar lampu isyarat, terlanggarlah kereta !
Jambatan baru..dan mungkin bersifat kekal kot?